15 April 2013

Pas cabar calon BN berdebat

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pas cabar calon BN berdebat

Kamarol (kiri) dan Rosli ketika ditemui sempena Majlis Sidang Media di Markas Pas DUN Chembong, di Kampung Mulia, kelmarin.
REMBAU – Pas mencabar kesemua calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) khususnya di Parlimen Rembau untuk berdebat dengan calon Pakatan Rakyat (PR) selepas hari penamaan calon.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakop berkata, langkah itu akan memberikan satu dimensi baru buat sistem demokrasi pilihan raya di sesebuah parlimen yang mana secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat menilai pemimpin yang bakal dipilih dalam PRU nanti.

Menurutnya, langkah berkenaan amat wajar dipertimbangkan, lebih-lebih lagi ia membabitkan kepentingan rakyat untuk melihat hala tuju pemimpin yang bakal membela nasib mereka.

“Kita cabar calon BN untuk berdebat dengan kita. Jika Dewan Sri Rembau tidak mampu menampung kegunaan untuk berdebat, kita syor untuk adakan di kawasan padang di daerah ini untuk menarik lebih ramai lagi penonton debat.

“Malah, kita yakin dengan amalan debat ini, kita akan memulakan tradisi baru dalam suasana pilihan raya di negara ini yang mana ia memberikan keuntungan buat pengundi menilai calon pilihan mereka,” katanya pada majlis sidang media di Markas Pas Dun Chembong, di Kampung Mulia, kelmarin.

Turut hadir calon Pas kerusi Dun Chembong, Kamarol Ridzuan Mohd Zin.

Sementara itu, Rosli ketika ditanya mengenai perpindahannya ke kerusi Dun Kuala Klawang berkata, keputusan berkenaan dibuat setelah kepimpinan pas pusat dan negeri menjalankan majlis syura.

“Bagi kesemua ahli Pas, keputusan secara sistem syura adalah merupakan yang terbaik kerana kita menganggap ada hikmah, berkat dan kelebihan dalam keputusan berkenaan.  Oleh itu, kita harap agar semua pihak dapat memberikan sokongan padu kepada calon Pas dan PR di kawasan masing-masing,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: