09 April 2013

Mati dalam pelukan suami

Foto28 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Klang: Tindakan pantas seorang suami mengusung keluar isterinya beberapa minit sebaik kereta mereka terbakar menyelamatkan isterinya itu daripada rentung selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh kenderaan lain di Kilometer 11.7 Lebuhraya Selat Klang Utara dari Meru ke Bandar Sultan Sulaiman, di sini kelmarin.

Namun, isterinya yang parah meninggal dunia dalam pelukan suaminya sebaik diselamatkan daripada kereta mereka yang terbakar.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, lelaki berusia 35 tahun itu segera keluar dari kereta Alza dinaiki bersama isterinya sebaik menyedari kenderaan mereka terbakar.
Menyedari isterinya masih berada di tempat duduk pemandu, dia nekad membawa keluar isterinya berusia 36 tahun yang parah.

Kejadian itu menyebabkan seorang anggota polis marin cawangan Pelabuhan Klang, Mohd Herwazi Ismail, 29, patah kaki selepas kereta pasangan itu merempuh belakang keretanya menyebabkan kenderaan berkenaan remuk di bahagian belakang dan tepi.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, ketika kejadian pasangan itu dalam perjalanan menghala Bandar Sultan Sulaiman.
ANGGOTA polis trafik IPD Klang Utara melihat keadaan kereta pasangan terbabit yang rentung.
“Mereka dalam perjalanan pulang namun setiba di lokasi kejadian, kenderaan mereka gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh belakang sebuah kereta Perodua Kelisa dipandu seorang anggota polis marin.

“Anggota polis marin itu dalam perjalanan untuk bertugas di Pelabuhan Klang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Rantau Panjang.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta dinaiki pasangan suami isteri itu meletup lalu terbakar. Kedua-dua mangsa sempat keluar daripada kenderaan namun isteri pemandu itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah,” katanya.

Zawary berkata, pemandu kereta Alza itu turut cedera dan dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

metro/-

Tiada ulasan: