17 April 2013

PAS Mendapat Restu Bertanding Di 7 Parlimen Di Sarawak

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUCHING - Datuk Sri Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah
mengesahkan bahawa PAS Sarawak akan bertanding di 7 kawasan parlimen
di Sarawak. Perkara ini telah dinyatakan oleh beliau dalam sidang
media di pejabat PAS Kota Samarahan, Kuching pada hari Ahad 14hb April
2013.

Sebelum sidang media bermula, semua calon yang terpilih telah Bai`ah
bermaksud berjanji untuk taat setia atau bersumpah dengan aku janji
dihadapan Tuan Guru Presiden PAS. Hj Hadi memberi nasihat dan juga
mengingatkan calon-calon PAS agar sentiasa taat dan setia dengan parti
yang telah memberi amanah untuk jadi calon. Jangan mengkhianati amanah
yang telah diberi oleh parti dan juga rakyat.

Kesemua 7 calon PAS telah diberi watikah perlantikan atau surat
pengesahan untuk menjadi calon PAS dalam Pilihanraya Umum ke13 nanti.
Antara lain PAS Sarawak juga mencalonkan golongan bukan Islam dari
ahli DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS) Sarawak sebagai calon untuk
parlimen Julau, iaitu Dr Ambrose Labang Jamba. Inilah pertama kali PAS
meletakkan calon bukan Islam sebagai calon parlimen di Sarawak.

Selain parlimen Julau, PAS Sarawak turut mencalonkan Ahli Jawatankuasa
PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus untuk kerusi Parlimen Kota
Samarahan,  Dr Mohd Jolhi (Batang Sadong), Jurina Mut (Tanjung Manis),
Nani Sahari (Mukah),  Ajiji Fauzan bagi kerusi Parlimen Igan dan akhir
sekali  Robby Tandang (Sibuti).

Kesemua calon tersebut telah mendapat restu dari pimpinan PAS pusat
termasuk juga dari pimpinan PR (Pakatan Rakyat) di peringkat pusat
untuk mewakili PR dalam PRU13 nanti. Kita harap dengan keputusan ini,
semua jentera PR dapat bergerak bersama tanpa mengira dari parti mana
dalam Pakatan yang akan bertanding.

Ahli-ahli serta penyokong PR seharusnya taat, patuh serta menghormati
keputusan yang telah dibuat oleh pimpinan pusat demi mencapai impian
rakyat. Tiada gunanya bergaduh sesama sendiri sedangkan matlamat kita
sama.

Kita tidak mahu mendengar ada sebarang perasaan tidak puas hati
dikalangan ahli serta penyokong PR dalam pembahagian kerusi sehingga
menyebabkan berlaku perpecahan disaat akhir seperti apa yang berlaku
semasa pilihanraya umum negeri Sarawak yang lalu. Hari penamaan calon
hanya tinggal beberapa hari lagi.

Janganlah hanya disebabkan perebutan beberapa kerusi, rakyat jadi
keliru dan tidak yakin akan perpaduan dalam PR. Elakkan perselisihan
faham disaat ini dimana kita perlu bersatu untuk menumbangkan BN.
Belajarlah dari kesilapan yang lalu, agar ianya tidak berulang lagi,
apabila kita berselisih sesama sendiri di saat-saat akhir ini akan
menguntungkan pihak musuh,  Kita sedang berlawan dengan musuh kita
yang sama, maka hindarilah perasaan tidak puas hati tersebut dari
merosakan perpaduan dan persiapan yang telah kita lakukan bersama
selama ini.

Perbuatan mereka yang cuba memecah-belahkan PR seharusnya dihentikan
dengan segera, janganlah disebabkan oleh kepentingan peribada dan
tidak puas hati menyebabkan rakyat terus menderita dibawah
pemerintahan yang zalim selama ini.

Ini kalilah masa untuk kita bersama rakyat menukar kerajaan yang ada
sekarang kepada yang lebih baik.

Bersatu kita teguh, bercerai Pakatan akan runtuh. Sepakat membawa berkat.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

Tiada ulasan: