11 April 2013

Tukang rumah maut, kereta hilang kawalan

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Tukang rumah maut, kereta hilang kawalan

Keadaan kereta Proton Wira mangsa yang remuk selepas bertembung dengan kereta jenis Proton Gen2 dipandu Mohd Ridwan.
Tukang rumah maut, kereta hilang kawalan

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Limbat, Bukit Payung.
MARANG – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta lain di kilometer 42.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Gong Balai, Merchang di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, mangsa, Mohd Nazi Kassim, 37, memandu kereta jenis Proton Wira, membawa bersama seorang penumpang wanita, Zaharah Ibrahim, 52, dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Mohd Nazi yang bekerja sebagai tukang rumah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah manakala penumpang wanita terbabit dan seorang lagi pemandu kereta, Mohd Ridwan Mustaffa, 32, mengalami cedera ringan.

Menurut adik tiri mangsa, Mohd Suhelmi Razali, 20an, abang tirinya yang beralamat dari Jalan Anak Balai Besar, Dungun itu keluar dari rumah keluarganya untuk ke Kuala Terengganu dan sempat singgah di rumah ayahnya di Balai Besar lebih kurang jam 9 malam.

“Abang (mangsa) kerap ke Kuala Terengganu dan sebelum kejadian, dia singgah terlebih dahulu di rumah ayah dan memaklumkan akan ke Kuala Terengganu sebelum terlibat dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan manakala kereta berpusing apabila mangsa mengelak sebuah lori di tepi jalan.

“Kereta yang dipandu mangsa itu kemudiannya dirempuh sebuah kereta dari arah Kuala Terengganu. Mohd Nazi meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Limbat, di Bukit Payung di sini, tengah hari semalam.

Sinar/-

Tiada ulasan: