'Adik rentung bersama kereta kesayangan'

Abdul Manan (tiga, kanan) berkongsi duka Ariah menceritakan kenangan bersama anak bongsunya itu sebelum kejadian.
KUANTAN - “Tak sangka sayang adik pada kereta Gen 2 itu sehingga dia turut terkorban dan rentung bersama,” kata Ariah Jono,50, ibu mangsa kemalangan Jalan Pintasan, dekat Indera Mahkota kelmarin Nurul Fadhillah Aripin,21.

Nurul Fadhillah yang merupakan pelajar tahun akhir Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) yang dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Kubang Buaya dikatakan gagal mengawal kereta yang dipandunya lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh dua batang pokok.

“Saya reda adik pergi dahulu. Dia yang merupakan penyeri keluarga ini memandangkan dia anak bongsu dari tujuh beradik.

“Selama ini, apa sahaja kemahuan dia saya turuti dan sebelum hari kejadian dia teringin makan sate. Tidak sangka pula, itu adalah permintaan terakhir yang saya boleh tunaikan,” katanya.

Ariah berkata, sehingga kini dia masih tidak percaya anak bongsunya itu sudah meninggal dunia, bagaimanapun dia dan suami harus menerima hakikat itu dengan reda.

“Adik sangat sayang kereta itu dan segala barang yang disayanginya diletakkan di dalam kereta tersebut.. hinggakan tidak ada tempat untuk orang lain tumpang di tempat duduk belakang.

“Memang saya sedih sangat.. semua barang kesayangan adik turut terbakar dalam kereta itu dan tiada apa yang boleh kami pandang untuk mengubat rindu pada dia,” kata Ariah yang tinggal di Felda Panching Timur di sini.

Dalam kejadian jam 5 pagi tersebut, Nurul Fadhillah dikatakan memandu bersendirian untuk menumpang tidur di rumah kakaknya.

Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh dua batang pokok hingga tumbang.

Akibat perlanggaran itu kereta Gen 2 yang dipandu terbakar.

Nasib keluarga ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang turut simpati dengan kejadian yang menimpa Nurul Fadhillah ini.

“Saya harap agar keluarga arwah sabar dan reda dengan kejadian semoga arwah dicucuri rahmat,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini," katanya.

SINAR/-