15 Mei 2013

Ahmad Said tidak layak jadi Menteri Besar - Mustafa

5 Rejab 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyelar tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said  yang menyatakan pembinaan rumah mampu milik hanya akan dibina di kawasan Dun yang dimenangi Barisan Nasional (BN) sahaja.


“Sebagai Menteri Besar kita jangan meletakkan diri kita setaraf Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh seorang Menteri Besar, tindakan tersebut juga menunjukkan beliau tidak layak menjadi Menteri Besar.

"Membina rumah kos rendah ini adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih, siapa pun kerajaan menjadi tanggungjawab dia bagi memberi kemudahan kepada rakyat," ujar beliau kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahmad itu merupakan politik balas dendam serti bersifat peribadi.

Beliau berkata, politik balas dendam intu tidak sepatutnya berlaku di dalam negara ini.

"Semua ini disebabkan oleh sikap balas dendam dan peribadi, sepatutnya sebagai sebuah negara maju politik sedemikian sudah tidak ada lagi dalam negara ini," kata beliau mengulas kenyataan Ahmad yang meminta rakyat di kawasan Parlimen dan Dun dimenangi Pakatan Rakyat meminta bantuan daripada wakil rakyat yang mereka pilih.

Mustafa berkata, jika cukai yang diperolehi dari rakyat dikembalikan kepada calon Pakatan Rakyat yang menang di sesebuah kawasan parlimen, ia tidak menimbulkan masalah.

"Duit yang diambil dari cukai rakyat jika dikembalikan kepada Pakatan Rakyat pasti tidak timbul masalah untuk kita meneruskan menyediakan kemudahan kepada rakyat.

"Tapi ini tidak berlaku, kerajaan jangan ingat itu duit Barisan Nasional atau Umno, dan siapa yang menjadi kerajaan ia bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat setempat bukannya kepada mereka yang menyokong sahaja," tegasnya.

Beliau mengulangi bahawa kerajaan Terengganu tidak faham apa itu tanggungjawab sebuah kerajaan yang dipilih.

"Ahmad ini tidak faham apa itu tanggungjawab sebuah kerajaan yang dipilih, hentikan politik balas dendam serta bersifat peribadi tetapi jika ini yang beliau tekankan saya rasa beliau tidak layak menjadi seorang Menteri Besar," jelasnya.

Beliau yang berharap sebagai rakyat yang perihatin seharusnya tahu bahawa tindakan seperti itu tidak wajar dilakukan oleh kerajaan.

Ini, katanya proses demokrasi apabila pilihanraya selesai, maka siapa yang dipilih bertanggungjawab untuk semua rakyat tanpa mengira mereka menyokong Pakatan Rakyat ataupun BN.

Pada PRU13 ini, BN Terengganu kekal memerintah apabila memenangi 17 kerusi daripada 32 Dun manakala PAS (14) dan PKR (satu).

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cuba cek tah2 sijil palsu..MB konon ckp setaraf pencacai..Ameno parti tuk org bodoh