15 Mei 2013

PAS harap Khalid mampu angkat imej polis

5 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara yang baru Tan Sri Khalid Abu Bakar diharap berupaya membersih dan mengangkat imej polis kepada satu tahap yang lebih tinggi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, kepimpinan Khalid ini sangat diharap untuk mengembalikan imej PDRM sebagai sebuah badan yang lebih berintegriti dan profesional termasuklah bebas dari campur tangan politik.

"Imej polis hari ini banyak menimbulkan pelbagai persepsi negatif di mata masyarakat dan inilah masanya yang sesuai untuk kepimpinan baru PDRM membuat perubahan agar PDRM dilihat sebuat institusi keselamatan yang terus mendapat kepercayaan rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Malah katanya harapan rakyat amat besar kepada PDRM dan imej mereka boleh terus dilonjakkan dengan syarat kepimpinan baru mempunyai iltizam yang tinggi untuk membuat perubahan.

Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa Jumaat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baru berkuat kuasa tarikh sama. 

Khalid menggantikan Tan Sri Ismail Omar, yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak esok. 

Khalid, 56, yang berasal dari Seremban dan memiliki ijazah perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), menjalani latihan sebagai inspektor di Pusat Latihan Polis pada 5 Disember 1976, dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Anti-Narkotik Kedah pada 1997.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: