Bom meletup dalam timbunan sampah

Pasukan forensik mencari sisa letupan di pasar malam di Ramkhamhaeng.
BANGKOK - Sekurang-kurangnya tujuh orang cedera apabila sebutir bom diletakkan dalam timbunan sampah meletup di sebuah pasar malam di Bangkok, Thailand, kelmarin.

Pegawai polis, Narongrit Promsawat berkata, letupan berlaku jam 9 malam waktu tempatan itu juga menyebabkan beberapa gerai di pasar di daerah Ramkhamhaeng rosak teruk dan ada yang hangus.

“Pasukan forensik mengesahkan bom itu diperbuat daripada campuran paku serta beberapa bahan lain,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati letupan itu dilakukan bukan bertujuan untuk membunuh atau mencederakan.

“Kami tetap melakukan siasatan terperinci kerana kami yakin letupan itu mempunyai kaitan dengan beberapa siri letupan kecil di Bangkok sejak kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi berkata, letupan tersebut menyebabkan orang ramai lari bertempiaran dan meninggalkan premis masing-masing.   

“Mangsa cedera akibat terkena paku dan serpihan kaca yang berterbangan,” katanya menurut laporan Bangkok Post.