KUCHING - Sarawak mencatatkan 6,181 kes kemalangan jalan raya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan negeri Datuk Seri Michael Manyin Jawong.
   
Katanya angka itu adalah peningkatan 3.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas yang mencatat 5,948 kes.
   
"Bagaimanapun, kes kemalangan maut menurun sebanyak 2.4 peratus daripada 121 kes kepada 118 dan kematian akibat kemalangan menurun 5.3 peratus daripada 134 kematian kepada 124," katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini hari ini. 
   
Manyin berkata antara punca peningkatan kes nahas jalan raya ialah pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya.
   
"Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang 41 peratus kepada kematian akibat kemalangan dan dari segi umur pula 46 peratus membabitkan mereka yang berusia 16 dan 45 tahun," katanya.

Beliau berkata berdasarkan analisis kemalangan jalan raya 2012 yang dilakukan polis, 43 peratus kemalangan maut berlaku di jalan lurus, 36.5 peratus di selekoh, 11.3 peratus di persimpangan dan 8.5 peratus di bulatan.
   
"Analisis juga mendedahkan 84 peratus kemalangan maut berlaku ketika cuaca baik dan 14 peratus ketika hujan," katanya.
   
Sementara itu Manyin berkata sebanyak 26,506 kenderaan baharu didaftarkan di Sarawak bagi suku pertama tahun ini.
   
"Setakat 31 Mac lepas, jumlah terkumpul kenderaan yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Sarawak ialah 1,491,134," katanya. - Bernama