28 Mei 2013

Kereta terbang sebelum terbalik

Foto
18 Rejab 1434 H. [MOD] -


Kuantan: “Memang macam dalam filem apabila saya melihat sebuah kereta secara tiba-tiba berpusing dan terbalik melanggar laluan pejalan kaki.
“Saya terus berlari untuk melihat keadaan pemandu dan membantunya keluar kerana bimbang kalau-kalau keretanya terbakar,” kata pengawal keselamatan, Mohd Norakmal Abdullah, 48, saksi kejadian sebuah kereta terbalik di Jalan Tun Ismail 1, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, seorang pekerja kilang, Cheryl Lee, 39, nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbalik ketika membelok ke jalan berkenaan.

Mohd Norakmal berkata, ketika kejadian dia sedang menjalankan tugasnya di sebuah premis syarikat telekomunikasi sebelum mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat sebuah kereta jenis Perodua Kembara ‘terbang’ sebelum terbalik.

Dia yang baru sebulan bekerja di premis berkenaan berkata, dia sempat bertanya keadaan pemandu wanita berkenaan dan sebaik mangsa memberi tindak balas, dia terus menarik pintu kereta bagi mengeluarkan mangsa.


“Mujur pemandu itu tidak mengalami kecederaan serius namun saya menasihatkannya untuk membuat pemeriksaan di hospital kerana bimbang berlaku kecederaan dalaman,” katanya.

KERETA dipandu mangsa yang terbalik di Jalan Tun Ismail 1, semalam.
Sementara itu, Cheryl berkata, dia tidak dapat mengingati dengan jelas apa yang berlaku sebaliknya hanya tersedar apabila keretanya sudah terbalik.

Katanya, dia yang memandu secara bersendirian dalam perjalanan menuju ke sebuah pasar raya, di sini, selepas menghantar rakannya di Terminal Makmur.

“Sebaik membelok ke jalan ini (Jalan Tun Ismail 1) kereta saya bagaikan hilang kawalan dan selepas itu saya sudah tidak ingat apa-apa lagi..sedar-sedar saja kereta saya sudah terbalik,” katanya
metro/-



Tiada ulasan: