Gesa terus projek terbengkalai


Ahmad Nazlan melihat keadaan di bawah jambatan sedia ada yang tidak selamat untuk digunakan.
Gesa terus projek terbengkalai


Keadaan jambatan lama yang berbahaya ketika dilalui kenderaan berat terutama lori membawa bijih besi dan balak.
Gesa terus projek terbengkalai


Ahmad Nazlan turun padang melihat keadaan jalan dan jambatan baru yang terbengkalai sekian lama.
JERANTUT - Pengguna menggesa agar projek pembinaan jalan raya Jerantut-Benta, dekat sini yang kini terbengkalai dapat dilaksanakan semula berikutan keadaan jambatan sedia ada tidak lagi selamat digunakan.


Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, sepatutnya pembinaan jalan itu sudah lama siap dan boleh memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan di kawasan itu.



“Kita harap supaya pihak berkenaan dapat melaksanakan semula pembinaan jalan yang terbengkalai itu kerana keadaan jalan lama yang sempit boleh mengundang kemalangan maut pada bila-bila masa sahaja.



“Kita lihat pembinaan jambatan baru yang terbengkalai itu lebih besar, kukuh dan mampu memberikan keselamatan kepada pengguna,” katanya kepada Sinar Harian ketika membuat tinjauan di kawasan itu.



Beliau berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang ramai yang mengatakan kawasan itu terlalu berbahaya dan boleh mengundang kemalangan.



“Saya melihat sendiri keadaan jalan itu pada malam hari di mana ia sangat berbahaya kerana laluan di atas jambatan sedia ada itu sangat sempit jika kenderaan berselisih dengan kenderaan berat terutama lori.



“Kawasan itu banyak dilalui lori bijih dan lori balak pada malam hari. Tambahan pula kawasan itu tidak ada lampu jalan di mana risiko kemalangan maut sangat tinggi,” katanya.



Jambatan terhakis



Ahmad Azlan berkata, keadaan jalan dari Jerantut-Benta menghala ke jambatan Sungai Par itu berselekoh tajam dan kenderaan yang datang dari arah itu pasti tidak sempat membrek jika bertembung dengan kenderaan berat.



Menurutnya, apa yang dibimbangi adalah keadaan jambatan sedia ada itu dilihat berbahaya kerana mengalami hakisan.