14 Jun 2013

Mapim gesa TPPA dibahas di parlimen


5 Syaaban 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa isu Trans Pasific Partnership Aggreement (TPPA) dibahas pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.



Presidennya Azmi Abdul Hamid berkata, memandangkan ia ada kaitan dengan persoalan kedaulatan ekonomi dan kesan kepada pelbagai industri negara, maka wajar ia diusulkan sebagai isu yang segera, berkepentingan awam dan relevan dengan pelbagai dasar kepentingan negara.



"Oleh kerana penglibatan Malaysia dalam perundingan TPPA dilakukan tanpa pengetahuan  awam, parlimen adalah wadah yang sewajarnya diguna untuk membahaskan mengenai baik buruknya negara diheret dalam hegemoni ekonomi kuasa besar seperti Amerika.



"Kami mengingatkan bahawa isu ini sangat serius  kerana ia akan mendedahkan  pelbagai industri negara kepada persaingan yang tidak adil. Jauh lebih berat ia juga akan mengakibatkan pelbagai dasar negara seperti status syarikat bumiputera dipinda atau dimansuhkan kerana dianggap sebagai penghalang kepada pasaran bebas," katanya dalam satu kenyataan.



Beliau turut mempersoal, kenapa perundingan yang sangat berisiko ini tidak melibatkan proses konsultasi awam.



Lebih mengejutkan apabila perundingan itu sedang masuk ke fasa terakhir dan Malaysia akan turut menandatangani suatu perjanjian yang mempunyai implikasi besar kepada ekonomi dan kedaulatan negara.



"Kenapakah TPPA menjadi rahsia kepada kerajaan sehingga rakyat tidak tahu menahu apa yang dirundingkan sedangkan ia sangat berkait dengan nasib mereka," katanya.



"Parlimen dan orang awam seharusnya dimaklumkan mengenai terma-terma syarat sebenar perjanjian itu. Ia tidak sepatutnya menunggu sehingga prosesnya  berakhir. Jika itu berlaku, maka sebarang input yang akan dicadangkan selepas itu tidak bermakna lagi," tegasnya.



Beliau turut menggesa ahli parlimen memainkan peranan tidak membenarkan isu TPPA diputuskan tanpa dibahaskan walaupun ia dianggap sebagai isu yang boleh diputuskan oleh badan esksekutif iaitu Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa .



Pihak kerajaan katanya tidak sepatutnya membelakangkan pandangan awam, seolah mereka yang menjadi perunding di TPPA tahu semua untuk membuat keputusan yang sangat besar.



Menurutnya, dengan membenarkan Malaysia terus terlibat dalam perundingan TPPA dan akhirnya menandatanggani perjanjian itu, rakyat Malaysia akan menerima natijah jangkapanjang yang parah akibat kedaulatan ekonomi negara digadai dalam perjanjian tersebut.



"Seluruh agenda melindungi industri Malaysia akan gagal dipertahankan kerana perjanjian TPPA memberi penekanan kepada prinsip kuasa pasaran terbuka dan pasaran bebas," ujarnya.
harakahdaily/-

Tiada ulasan: