14 Jun 2013

SPR tidak lagi sesuai kendali persempadanan p'raya


5 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lagi sesuai mengendalikan urusan berkaitan urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya.



Kajian Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berkata, ketidaksesuaian ini ekoran ketidakupayaan SPR dalam menunaikan amanahnya bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara bersih, bebas dan adil.




Sebaliknya tegas KPRU, sebuah badan yang neutral dan bebas daripada pengaruh badan eksekutif terutamanya, harus ditubuhkan bagi mengendali urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya, seperti Suruhanjaya Persempadanan yang ditubuhkan di kebanyakan negara.



"Suruhanjaya Perwakilan yang diadakan di New Zealand, khususnya, boleh dijadikan sebagai rujukan bagi mengadakan sebuah badan yang berkebolehan dalam menyemak semula dan menggariskan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya yang saksama, sebagai langkah pertama merealisasikan prinsip satu orang satu undi yang sama nilai yang ideal dalam sistem pilihan raya yang demokrasi," kata KPRU dalam satu kenyataan hari ini.



Menurut KPRU juga, dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, sebanyak enam kali proses persempadanan dilakukan, masing-masing pada tahun 1958, 1966, 1974, 1983, 1992, dan 2003.



Proses persempadanan berkait rapat dengan konsep “gerrymandering” yang merujuk kepada tindakan memanipulasi atau tindakan secara sengaja menyusun atau mengatur semula kawasan-kawasan pentadbiran bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya dengan mengurangkan undi parti oposisi.



Gerrymandering merupakan antara isu yang paling kronik dihadapi oleh sistem pilihan raya dan demokrasi dalam negara ini.



"Persempadanan kawasan pilihan raya sentiasa menjadi suatu isu penting dalam sistem pilihan raya kerana persempadanan merupakan cara langsung bagi memanipulasi keputusan pilihan raya.



"Dengan kata lain, ia memberi ruang kepada “permainan kotor” dalam sistem pilihan raya yang dianggap adil dan bebas," kata kenyataan itu lagi


harakahdaily/-

Tiada ulasan: