17 Jun 2013

PAS tetap bertegas perlu tubuh IPCMC


8 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguat Kuasa (EAIC) yang sedia ada tidak boleh menyelesaikan masalah apatah lagi mengembalikan integriti PDRM kerana suruhanjaya itu bersifat umum.


Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) adalah yang terbaik untuk memulihkan imej pasukan polis yang kini sudah tercalar ekoran beberapa kes kematian di dalam lokap.

"PAS konsistan bahawa IPCMC sangat perlu kerana ia bersifat khusus kepada PDRM dan saya percaya ianya boleh mengembalikan integriti PDRM sekali gus memulihkan kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan itu," katanya kepada Harakahdaily.

Malah katanya, EAIC yang sedia ada tidak fokus kepada matlamat penubuhan seperti mana IPCMC yang lebih bertanggungjawab untuk memulihkan imej PDRM. 

Salahudin turut membidas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang tidak wajar mengeluarkan kenyataan IPCMC tidak perlu kerana sudah ada EAIC, memandangkan beliau mempunyai kepentingan di dalam PDRM.

"Kenyataan timbalan KPN tidak wajar, buat apa dia nak komen tentang IPCMC dia pihak yang ada kepentingan dalam PDRM. Sebenarnya rakyat mahu imej PDRM dikembalikan," katanya.

Sebelum ini, Timbalan KPN menolak cadangan untuk membentuk IPCMC kerana sudah terdapat sebuah entiti pemantauan, iaitu EAIC.

Mohd Bakri berkata sudah ada undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen untuk memastikan anggota polis mematuhi peraturan-peraturan dan prosedur operasi standard (SOP).

"Sudah ada undang-undang. Sudah ada EAIC. Tidak ada gunanya untuk membincangkan tentang IPCMC. 

"Saya rasa undang-undang sudah sedia ada dan ia lebih kuat daripada IPCMC. Jadi kita hanya perlu melaksanakan atau menguatkuasakannya," katanya.
harakahdaily/-

Tiada ulasan: