06 Julai 2013

Hishammuddin Beri Jaminan Tiada Lagi Penundaan Tarikh Operasi KLIA2

27 Syaaban 1434 H. [MOD] -

Keadaan bangunan utama terminal KLIA 2 ketika tinjauan di Menara Pusat Kawalan Trafik Udara Penerbangan Awam Malaysia KLIA 2, Sepang pada Jumaat. - FotoBERNAMA
SEPANG: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin pada Jumaat memberi jaminan bahawa tidak akan ada lagi penundaan bagi tarikh operasi klia2 selepas tarikh beroperasi baru pada 2 Mei 2014 diumumkan baru-baru ini.
Beliau berkata sebuah jawatankuasa khas di peringkat kementerian yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi telah ditubuhkan bagi memantau perjalanan projek itu.
"Jawatankuasa ini juga akan membantu pihak Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan syarikat kontraktor yang terlibat menyelesaikan mana-mana masalah atau kekangan yang timbul berkaitan projek ini.
"Jawatankuasa ini akan turut bertanggungjawab menerangkan kepada orang ramai berkenaan punca kelewatan dan kos tambahan yang dikenakan disebabkan oleh kelewatan ini," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke tapak projek klia2 di sini, Jumaat.
Katanya jawatankuasa ini akan melaporkan perkembangan projek berkenaan kepada beliau setiap minggu bagi membolehkan beliau memantau perlaksanaannya secara lebih dekat.
"Saya berharap langkah ini dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius dan prihatin dalam memastikan projek mega ini dapat direalisasikan demi kebaikan semua pihak," katanya.
Dalam lawatan tersebut, Hishammuddin telah diberi taklimat oleh pihak MAHB dan semua yang terlibat mengenai segala kekangan dan masalah kelewatan yang mereka hadapi sebelum ini.
"Saya telah diberi penjelasan mengenai perkara-perkara tersebut dan mendapatkan komitmen pihak MAHB dan kontraktor untuk sama-sama menyiapkan projek ini mengikut jadual yang ditetapkan.
"Dalam hal ini, saya tidak mahu menuding jari ke mana-mana pihak tetapi mahu memastikan projek ini dapat disiapkan demi keselesaan pengguna serta membantu merancakkan sektor pelancongan negara ini," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: