04 Ogos 2013

Bekas banduan ditembak dalam rumah

26 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Bekas banduan ditembak dalam rumah
Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan di Cheras Perdana, Kajang, semalam. - Foto SADDAM YUSOFF

Kajang: Seorang kelindan lori, yang baru dua bulan dibebaskan dari penjara, ditembak mati di ruang tamu rumah ibu angkatnya dalam kejadian di Cheras Perdana, di sini, semalam. 

B Balamurali, 36, maut selepas dua lelaki melepaskan tiga das tembakan ketika mangsa sedang tidur di rumah teres itu kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Mangsa difahamkan baru pulang dari kuil berhampiran selepas mengerjakan upacara keagamaan. 

Sepupu mangsa, B Nathiya, 25, berkata, kejadian berlaku kira-kira 10 minit selepas bapa angkat mangsa keluar dari rumah berkenaan sebelum dua lelaki bermotosikal masuk dan menembak mangsa. 


Katanya, beliau difahamkan mangsa maut di tempat kejadian dan tembakan dilepaskan itu didengari ibu angkatnya yang ketika itu berada di biliknya, kemudiannya menghubungi pihak polis untuk melaporkan kejadian. 

Tiga das tembakan 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika mengesahkan kejadian berkata, mangsa disahkan mati di tempat kejadian selepas ditembak tiga das di dada mangsa. 
“Siasatan awal mendapati mangsa baru saja dibebaskan dari penjara pada Jun lalu dan mempunyai rekod lampau atas kesalahan mencuri serta bersabit kes dadah,” katanya ketika dihubungi BH, semalam. 

Dalam pada itu, isteri mangsa, S Puraswari, 28, yang sampai ke lokasi kejadian kira-kira jam 4.00 petang berkata, kali terakhir suaminya menghubunginya malam kelmarin. 

“Kami tinggal di Seremban dan seminggu sekali beliau akan pulang untuk berjumpa keluarga,” katanya. 

Pasangan itu mempunyai seorang anak berusia empat tahun. BH/-

Tiada ulasan: