Harakahdaily, | 04 Ogs 2013 |
MESIR: Ikhwan Muslimin dengan tegas menolak seruan Pemimpin Al-Qaidah Ayman Al-Zawahiri agar gerakan Islam Mesir itu segera meninggalkan demokrasi.
Menurut Hasan, apa yang berlaku di Mesir ketika ini adalah "demokrasi telah diculik" oleh pihak tentera yang melakukan rampasan kuasa.
“Ikhwan yakin bahwa demokrasi layak mendapatkan pengorbanan, dan kami akan membuat pengorbanan ‘damai’ untuk mengembalikannya.
"Kami tidak akan meninggalkan jalan demokrasi dan akan menggunakan segala cara demokrasi dan damai untuk memulihkan demokrasi," katanya kepada agensi Anadolu.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan balas kepada seruan pemimpin al-Qaeda kelmarin agar Ikhwan meninggalkan demokrasi di Mesir dan dilihatnya tidak membawa kepada kebaikan.
Al-Qaedah sebelum ini juga sependapat bahawa Amerika Syarikat dalang kepada penggulingkan Muhamed Morsi.
Menurut al-Zawahiri, Morsi telah disasarkan oleh konspirasi yang dipimpin oleh kaum sekular, Kristian Koptik dan tentera yang merupakan tangan-tangan Amerika.
Sejak awal himpunan menyokong legitimasi diadakan penyokong Morsi, Ikhwan secara tegas menyatakan pendirian bahawa himpunan ini adalah damai dan menolak sebarang keganasan.
Namun, pihak tentera Mesir melalui media dikawal mereka telah memberi gambaran bahawa himpunan tersebut adalah bersifat keganasan.
Tuduhan tersebut dibuat dipercayai sebagai alasan untuk bertindak keras menyuraikan penyokong Morsi yang berhimpun sudah lebih sebulan sejak Morsi digulingkan tentera.
Dalam beberapa siri cubaan meleraikan himpunan, pihak polis dan tentera Mesir telah menembak ratusan penyokong Morsi khususnya di Medan Raba'ah.
Sehingga kini dianggarkan sejumlah 500 telah terkorban dan ribuan lagi cedera sejak rampasan kuasa 3 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan