8 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
BOULDER 13 Sept. - Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam kejadian banjir di Colorado, Amerika Syarikat (AS), lewat semalam, dalam kejadian banjir paling buruk pernah berlaku di negeri ini sejak 1940.
Bencana banjir berkenaan menyebabkan beberapa bangunan runtuh, pemandu kenderaan terkandas dan memaksa beribu-ribu penduduk menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi.
Di Boulder, hujan sepanjang September ini menyebabkan banjir di bandar berhampiran Ngarai Boulder dan menyebabkan kira-kira 4,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
Jurucakap Pengurusan Kecemasan Boulder, Ashlee Herring berkata, air yang mengalir dari kawasan ngarai terlalu banyak dan melimpah ke kawasan bandar ini.
"Beberapa pekan terletak di Banjaran Rockies di bahagian utara Denver turut terjejas akibat banjir," katanya.
Di Longmont, kira-kira 23 kilometer dari timur laut Boulder, air Sungai St. Vrain juga melimpahi tebing membanjiri jalan raya utama sehingga menyebabkan banyak jalan ditutup dan banyak pemandu terkandas.
Penolong pengurus bandar, Shawn Lewis berkata, seramai 7,000 penduduk diarah berpindah ke dua pusat pemindahan sementara yang dibuka sejak semalam.
Dalam perkembangan sama, Presiden AS, Barack Obama meluluskan dana bantuan kecemasan untuk kerja-kerja menyelamat dan membantu mangsa banjir.
Pasukan Pengawal Kebangsaan turut diarah menghantar bantuan kecemasan termasuk makanan dan perubatan, terutamanya ke pekan terpencil seperti Lyons di utara Boulder terjejas teruk akibat dikelilingi air banjir.
Laporan Perkhidmatan Kaji Cuaca menyebut, rekod taburan hujan menunjukkan jumlah 31 sentimeter sejak 1 September lalu, sekali gus memadamkan rekod yang dicatatkan kira-kira 32 tahun lalu dengan catatan 14 sentimeter. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan