8 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Pesta Kuih Bulan China merupakan perayaan tradisional utama rakyat China. Pesta ini juga dinamakan Pesta Bulan 8, Pesta Mengekori Bulan, Pesta Menyembah Bulan, Pesta anak Perempuan atau Pesta Berkumpul.
Menurut cerita dongeng, pada zaman purba, terdapat 10 buah matahari di langit. Cahaya matahari yang panas terik menyebabkan tanah kering dan berasap, air di laut kering tersejat dan rakyat jelata menghadapi ancaman maut.
Ada seorang pahlawan yang juga Raja Negeri Youqiong zaman Dinasti Xia, iaitu pada tahun 2070 hingga 1600 sebelum Masihi, yang bernama Hou Yi yang mempunyai kuasa misteri dan pandai memanah. Baginda dengan gagah beraninya memanah jatuh 9 daripada 10 buah matahari itu. Rakyat jelata amat gembira dan memuja Hou Yi yang menyelamatkan mereka dari ancaman maut.
Permaisuri Hou Yi, bernama Chang E, merupakan seorang jelitawan. Pada suatu hari, Hou Yi memperoleh ubat panjang umur yang dihadiahkan oleh Wangmuniangniang, Permaisuri Maha Kuasa di langit. Katanya, orang yang makan ubat panjang umur itu segera akan menjadi dewa atau dewi dan terbang ke kayangan. Hou Yi tidak mahu berpisah dengan permaisurinya, maka baginda tidak memakan ubat itu dan menyerahkan ubat itu kepada permaisurinya Chang E untuk disimpan. Peristiwa itu ternampak oleh Peng Meng, seorang pengikut Hou Yi. Ketika Hou Yi keluar, Peng Meng telah pergi ke istana Hou Yi dan memaksa Chang E memberikan ubat panjang umur itu kepadanya. Chang E mengetahui bahawa dia tidak berdaya melawan Peng Meng, lalu dia memakan ubat panjang umur itu. Setelah memakan ubat itu, Chang E terbang dari bumi ke bulan serta-merta.
Apabila Hou Yi kembali ke istana, para dayang yang sedang menangis telah memberitahukan hal yang berlaku itu kepadanya. Hou Yi berasa amat sedih, lalu menyeru permairurinya di bulan. Baginda mendapati bulan pada malam itu sangat bulat, besar dan terang. Bayang permaisurinya yang bergerak di bulan pun dapat dilihatnya. Hou Yi berdoa untuk permaisurinya Chang E di bulan dengan meletakkan makanan yang disukai oleh permaisurinya di tempat tertentu.
Setelah mengetahui Chang E terbang ke bulan dan menjadi dewi, rakyat jelata juga beramai-ramai berdoa dengan meletakkan pelbagai jenis makanan, semoga Chang E di bulan menganugerahkan keamanan dan kesejahteraan kepada mereka. Lama-kelamaan, berdoa pada bulan pada hari ke-15, bulan 8 menurut kalendar China telah menjadi tradisi rakyat China. Itulah Pesta Kuih Bulan.
Walaupun terdapat banyak cerita dongeng yang berbeza-beza tentang asal-usul Pesta Kuih Bulan ini di China, tetapi makan kuih bulan merupakan perkara yang paling penting dalam Pesta Kuih Bulan ini. Pada Pesta Kuih Bulan, iaitu malam 15 haribulan bulan 8 menurut kalendar China, anggota keluarga orang China akan berkumpul dan bersama-sama menikmati pemandangan bulan purnama yang indah sambil makan kuih bulan yang enak.
Cara pelbagai etnik China merayakan Pesta Kuih Bulan ini juga berbeza-beza. Masyarakat etnik Zhuang China merayakan Pesta Kuih Bulan dengan menyembahyangkan bulan dengan menghidangkan samsu. Para gadisnya pula memasang tanglung yang cantik dan meletakkannya di permukaan air sungai dan tasik untuk berdoa agar mendapat kebahagiaan sepanjang hayat. Rakyat etnik Korea merayakannya dengan memalu gendang panjang dan menari berramai-ramai. Teruna etnik Dong pula akan bersiar-siar dan mengutarakan perasaan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Manakala pemuda-pemudi etnik Dai akan melepaskan tembakan senapang ke udara, minum samsu dan bernyanyi bersama-sama. Mereka juga akan memilih kekasih dengan peluang ini.
Pesta Kuih Bulan bukan sahaja merupakan perayaan tradisional rakyat China, tetapi juga merupakan perayaan tradisional orang Cina seluruh dunia. Walaupun zaman sudah berubah, tetapi Pesta Kuih Bulan tetap merupakan kesempatan bagi orang Cina untuk mengeratkan hubungan antara anggota keluarga dan sanak saudara serta berdoa untuk memohon restu dan kebaikan.
Selain itu Perayaan Kuih Bulan merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan (120 Sebelum Masihi - 1341 Masihi). Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari kelimabelas pada bulan kelapan pada kalender Cina iaitu pada akhir bulan Ogos atau awal bulan September. Perayaan Kuih Bulan disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan.
Salah satu hidangan istimewa pada perayaan Kuih Bulan merupakan Kuih Bulan itu sendiri. Kuih Bulan itu diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.
Terdapat juga tradisi yang menyatakan Kuih Bulan dibuat sebagai persembahan kepada Dewa Dapur. Dewa Dapur yang makan Kuih Bulan tidak dapat menyampaikan lapuran buruk kepada Maharaja Syurga disebabkan mulutnya terkunci oleh Kuih Bulan yang manis itu.
Pelbagai sumber/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan