08 September 2013

Besarnya ‘jenayah’ peserta bantah harga minyak

2 Dzulka'edah Syawal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kekesalan terhadap kerajaan berhubung penahanan terhadap peserta flashmob di Kota Bharu, Kelantan semalam yang menzahirkan bantahan terhadap kenaikan harga minyak.

“Penangkapan ini seolah-olah anak-anak muda itu telah membuat jenayah besar sedangkan mereka hanya membuat bantahan aman dengan menaikkan kertas 'kad manila' tanda kecewa terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak yang membebankan rakyat khususnya anak muda seperti mereka,” ujar Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.



Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kekesalan terhadap kerajaan berhubung penahanan terhadap peserta flashmob di Kota Bharu, Kelantan semalam yang menzahirkan bantahan terhadap kenaikan harga minyak.

Tindakan menahan empat peserta daripada aktivis Royalti (R) itu adalah tidak bertanggungjawab dan telah meruntuhkan sistem demokrasi di negara ini sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk membuat transformasi akan sistem itu.

Penangkapan ini seolah-olah anak-anak muda itu telah membuat jenayah besar sedangkan mereka hanya membuat bantahan aman dengan menaikkan kertas 'kad manila' tanda kecewa terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak yang membebankan rakyat khususnya anak muda seperti mereka.

DPPM percaya, tindakan lucu kerajaan ini akan menyemarakkan semangat rakyat khususnya anak muda untuk terus berjuang demi menyatakan kebenaran serta menentang kebrobrokan pemerintah yang tidak mengutamakan rakyat.

DPPM ingin tegaskan, kerajaan tidak boleh menyekat rakyat untuk bersuara dan menyatakan bantahan lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat ditindas serta dibebankan kerana itu adalah hak mereka.

Kerajaan dan pihak berkuasa seharusnya fokus untuk menyelesaikan masalah jenayah yang semakin meruncing di negara ini ketika ini, ianya adalah lebih baik daripada menyekat rakyat untuk bersuara.

DPPM berpandangan, penangkapan ini hanyalah menjatuhkan imej kerajaan termasuklah pihak berkuasa itu sendiri seolah-olah takut dengan suara rakyat walaupun bantahan itu hanya dalam kuantiti yang kecil.

Harus diingat, kenaikan harga minyak dan disusuli kenaikan barang ini telah menyebabkan rakyat marah dan bantahan demi bantahan akan terus disuarakan oleh rakyat.

Kami ingin menasihati kerajaan agar menghormati hak rakyat untuk bersuara selagi ianya tidak melanggar kerangka demokrasi yang diguna pakai di negara ini.

Kepada empat aktivis R yang ditahan, DPPM sangat berbangga dengan semangat juang kalian yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Anda telah menjadi inspirasi rakyat Malaysia dan anda adalah harapan rakyat!


Harakahdaily

Tiada ulasan: