08 September 2013

Tinggal Ku Li satu-satunya pencabar Najib?

2 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -


Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah kini membayangkan kemungkinan beliau bakal mencabar Najib bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan pada 19 Oktober depan. Walaupun memberitahu bahawa beliau belum memutuskan perkara itu tetapi katanya, " hasrat itu ada tetapi belum ada keputusan lagi".


Namun katanya, segala-galanya akan terjawab pada hari pendaftaran pada 28 September nanti.

Sejak beberapa lama nama Tengku Razaleigh dan Muhyiddin Yassin telah menjadi sebutan sebagai pemimpin yang dikatakan akan mencabar kedudukan Najib bagi jawatan Presiden UMNO. Keadaan itu bukan saja berdasarkan keputusan pilihanraya yang menyaksikan BN lebih terperosok berbanding pilihanraya 2008 tetapi juga disebabkan pelbagai isu yang melingkari kepimpinan Najib.

Muhyiddin juga sehingga ini belum membuat keputusan rasmi tentang jawatan yang bakal ditandinginya tetapi besar kemungkinan hanya mengekalkan jawatan Timbalan Presidennya saja berikutan beliau dilihat hanya bergantung kepada kekuatan dan sokongan Mahathir semata-mata jika ingin mencabar Najib. Memandangkan Mahathir sudah membuat kenyataan mahu kedua-dua jawatan tertinggi itu dikekalkan, kekuatan Muhyiddin untuk mencabar Najib juga turut tidak berkembang.

Ini menjadikan hanya Tengku Razaleigh atau Ku Li yang tinggal sebagai satu-satunya pencabar Najib yang dirasakan sesuai. 

Namun Ku Li, walaupun agak veteran, beliau ada kekuatannya yang tersendiri. Rekodnya yang sarat dengan pelbagai sumbangan dan kecemerlangan sebelum ini, imejnya yang bersih, peribadi yang terpuji dan keyakinan terhadap kemampuannya melakukan perubahan adalah sandaran yang selalu diperkatakan. Sejarahnya yang hanya kalah 43 undi ketika menentang Mahathir pada 1987 seringkali menjadi sebutan.

Jika beliau memutuskan untuk bertanding, ia adalah semata-mata untuk berkhidmat serta memperbaiki banyak kerosakan yang ada dalam UMNO sekarang dan tidak mahu melihat UMNO dan kerajaan terus terumbang-ambing di mata rakyat. 

Walaupun belum pasti beliau akan mencabar Najib dan kita terpaksa menunggu sehingga 28 September ini untuk mengetahui kedudukan sebenarnya, sekurang-kurangnya bayangan yang diberi oleh Ku Li itu merupakan harapan kepada sebahagian orang yang kecewa melihat kepada apa yang berlaku kepada UMNO dan negara sekarang.

Baik di dalam UMNO mahupun rakyat biasa, kritikan kepada Najib kini semakin membesar. Jika sebelum pilihanraya, kritikan banyak terarah kepada pemborosan dan pembaziran isterinya, kepimpinan yang lemah, pendekatan yang merugikan Melayu, lebih memanjakan kaum Cina, rasuah, penyelewengan, ketelusan kerajaan dan sebagainya, keadaan ini nampaknya menjadi lebih parah lagi sekarang ini.

Kelemahan dan ketidakuayaan Najib sebagai pemimpin dan Perdana Menteri meliputi hampir semua segi. Tidak saja rakyat biasa yang bercakap mengenainya, bahkan ramai ahli dan pemimpin UMNO juga bercakap mengenainya. Berbuallah dengan kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO, topiknya mesti tidak terlepas daripada memperkatakan tentang kelemahannya.

Jika sebelum Najib menjadi Perdana Menteri, pemborosan keluarga pemimpin lebih berkaitan mengenai rumah atau kereta besar, tidak ada sesiapa terbayang pemborosan di eranya sehingga ke peringkat membeli cincin bernilai RM24 juta boleh berlaku di ketika masih ramai orang Melayu masih miskin, berpendapatan bawah RM3000 sebulan dan sering digula-gulakan dengan bantuan BR1M.

Mujurlah isu cincin itu menjadi kecoh dan ia akhirnya dipulangkan kepada penjualnya, jika tidak, kita mungkin menyaksikan lebih banyak lagi barang kemas yang mahal-mahal menjadi kebanggaan dan penanda aras betapa mewahnya kehidupan keluarga seseorang pemimpin di negara ini.

Selain meneruskan pendekatan memanjakan kaum Cina walaupun diketahui tidak disokong oleh kaum itu dalam pilihanraya, Najib juga meneruskan banyak perkara yang dilakukannya sebelum pilihanraya lalu sehingga menyebabkan BN hanya menang 133 kerusi sahaja. Ekonomi masih lembab, hutang makin bertambah, defisit makin memburuk, belanja masih boros, pengangguran makin tinggi, jenayah berleluasa dan pelbagai lagi kelemahan dalam megurus kerajaan.

Ramai kalangan dalam UMNO yang dulunya mempertahankan Najib, kini secara terbuka mengkritik dan membelasah beliau secara terbuka. Pelbagai gelaran dan kata-kata yang tidak manis mulai secara terang-tangan dilabelkan kepada Najib. Tiada lagi lagi rasa segan untuk menegur dan mengkritiknya, malah memaki hamun sekali pun. Kebimbangan terhadap kelemahan Najib yang berterusan bukan saja dijangka menjerumuskan negara ke lembah yang lebih berselut tetapi juga memungkinkan UMNO dan BN akan hilang kuasa dalam PRU 14 nanti.

Isu mengenai Pemandu atau Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan yang bertali arus didedahkan kepincangannya sejak kebelakangan dalam media baru menelajanjangkan lagi "panau dan kurap" yang selama ini terlindung dalam pentadbiran Najib. Pemandu yang diketuai oleh Idris Jala dan mirip seperti peranan "budak-budak tingkat 4" ketika era Pak Lah, bukan saja didedahkan dengan pegawai kanannya yang tidak bermoral, kecenderungan terhadap bangsa asing dalam pengambilan kakitangan, kebergantungan kepada konsultan luar, malah turut dikaitkan dengan pembaziran operasi sehingga RM337 juta sejak empat tahun lalu.

Dengan segala kepincangan dalam Pemandu itu tetapi prestasi ekonomi dan kerajaan tidak juga bertambah baik, malah yang lebih dikesali Nalib nampaknya tidak belajar daripada kemelut "budak-budak tingkat 4" yang menjadi punca utama kejatuhan Pak Lah dulu. Najib bukan saja mengulangi kesilapan itu, malah meletakkan kebergantungannya kepada golongan penasihat mirip "budak-budak tingkat 4" dalam skala yang lebih besar lagi.

Hari ini Pemandu bukan saja dikritik hebat, malah sehingga dicadangkan ditutup operasinya dan diminta menggunakan sepenuhnya peranan EPU sebagai tangan penting dalam pengurusan ekonomi negara. Ia jelas menggambarkan kelemahan Najib dan gejolak rasa kebanyakan ahli UMNO terhadap Pemandu tidak jauh bezanya dengan kemarahan mereka terhadap "budak-budak tingkat 4" suatu ketika dahulu.

Daripada hampir semua segi, Najib terlihat lebih lemah dan jauh lebih buruk dari Pak Lah. Sebab itu, bagi kebanyakan pendapat dalam UMNO, mencabar Najib bukan lagi suatu keperluan atau sekadar ingin memberi pilihan kepada perwakilan UMNO dalam memilih pemimpin, bahkan ia sudah menjadi suatu kewajipan.

Walaupun belum pasti, namun Ku Li satu-satunya sandaran kewajipan itu ketika ini.

Ku Li mungkin agak veteran dari segi usia tetapi pengalaman, daya juang dan kemampuan berfikirnya tidak pernah tua atau dimakan usia. Idea dan pandangannya dalam banyak perkara masih kelihatan segar dan sesuai dengan zaman. Beliau mempunyai keluarga yang cukup sederhana dan tidak bermewah. Isterinya juga tidak pun kenal dengan cincin RM24 juta.

Dalam usianya sekarang juga, niat Ku Li hanyalah ingin berkhidmat dan memperbaiki segala benda yang rosak saja. Khidmatnya pasti tidak lama. Pemimpin muda boleh mulai beratur dengan selesa di belakangnya untuk mengambil alih baton kepimpinan negara sebaik saja tugasnya selesai nanti.

Cuma, ketika banyak orang dalam UMNO bercakap tentang kerosakan dan ingin memperbaikinya, bimbang dengan kelemahan Najib yang membahayakan negara, pembaziran, pemborosan, Pemandu yang dikatakan berada di laluan bengkang-bengkok, risau BN mungkin hilang kuasa dalam PRU 14 nanti dan menyebut perkataan transformasi berulangkali setiap hari, semua kata-kata itu haruslah dibuktikan dengan perbuatan juga.

Barulah ia dinamakan transformasi.

Harakahdaily

Tiada ulasan: