18 September 2013

Generasi muda turut terkesan dengan Chin Peng

12 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Biarpun kekejaman Chin Peng, pengganas komunis pada era 1948 hingga 1960 tidak dirasai generasi muda kini, namun rata-rata mereka bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan abu mendiang dibawa ke Malaysia.

Generasi muda pelbagai bangsa memberitahu Bernama, mereka seolah-olah dapat menyelami penderitaan dan kesengsaraan rakyat Malaysia di zaman darurat yang berhadapan dengan keganasan dan kekejaman yang dilakukan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) di bawah pimpinan Chin Peng.

Justeru itu, mereka berpendapat langkah kerajaan itu amat relevan sebagai menghormati sensitiviti anggota keluarga yang pernah menjadi mangsa kekejaman Chin Peng.

Seorang pelajar, Hamidah Mohd Yusof, 25, berkata walaupun ramai generasi muda yang kurang mengenali siapa sebenarnya Chin Peng, namun kekejaman yang dilakukan mendiang sehingga menyebabkan kematian beribu-ribu anggota keselamatan dan rakyat ketika itu sering menjadi buah mulut golongan berumur rakyat negara ini, yang turut meninggalkan kesan di hati generasi muda sepertinya.

"Biarpun mendiang sudah tiada, kekejaman, keganasan yang dilakukan pasti tidak mampu dipadam dari lipatan sejarah negara, apa lagi sejarah kehidupan keluarga yang menjadi mangsa kekejaman mendiang," katanya.

Chin Peng meninggal dunia kerana sakit tua pada usia 89 di Bangkok, Thailand semalam, dan ironinya tarikh kematiannya jatuh pada 16 Sept yang merupakan ulang tahun penubuhan Malaysia yang ke-50, memandangkan dia antara individu yang menentang penyatuan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, serta Singapura pada masa itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan abu pengganas yang banyak melakukan kekejaman terhadap rakyat dan negara itu dibawa pulang ke negara ini, walaupun diminta oleh ahli keluarga mendiang.

Bagi N.Gaury, 28, seorang kakitangan swasta yang banyak membaca mengenai kekejaman Chin Peng membunuh rakyat dan anggota keselamatan negara berkata:"

"Mana boleh untuk kita membenarkan abu atau mayatnya (Chin Peng) dibawa ke sini
(setelah melakukan kekejaman)."

Beliau yang bersetuju dengan keputusan kerajaan berkata, kerajaan pastinya sudah mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan itu.

Bagi pelajar Nelson Hii, 23, langkah kerajaan itu tidak harus dipertikai mana-mana pihak apatah lagi Chin Peng pernah mensia-siakan peluang perjanjian damai menerusi Perjanjian Hatyai 1989.

Malah, Chin Peng turut mensia-siakan tawaran kerajaan Perikatan, yang memenangi Pilihan Raya Tanah Melayu pada 1955, yang telah membuat tawaran pengampunan kepada anggota PKM menerusi Rundingan Baling 1955, katanya.

"Dia (Chin Peng) ibarat sudah dibuang negara, jadi kalau kerajaan tidak benar abu dia dibawa masuk sekarang, memang ada kewajarannya," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: