18 September 2013

Berjuang Melayu di dua musim

12 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Orang Melayu khususnya pemimpin dan penyokong Umno perlu merenung mengapa bangsa Melayu masih ketinggalan di sudut ekonomi walaupun dasar yang dirancang seperti Dasar Ekonomi baru (DEB) adalah baik dan mampu mengangkat taraf hidup golongan bumiputera.


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, dasar yang dilaksanakan kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup bumiputera dan orang Melayu khususnya digubal oleh pegawai yang profesional namun dilaksanakan oleh pemimpin politik yang tidak amanah.



"Pegawai tidak boleh buat apa-apa. Mereka hanya menerima arahan sahaja," jelas beliau.



Kemiskinan orang Melayu, ujarnya hanya menjadi umpan untuk memperkayakan pemimpin dan penyokong Umno sedangkan projek yang dipohon atas dasar Melayu banyak dibolot oleh pemimpin Umno. 



"Pemimpin Umno dan penyokong Umno kena renung kenapa orang Melayu masih ketinggalan dari segi ekonomi walau pun dasar yang dirancang adalah baik.



"Macam mana Melayu hendak maju, kerana dasar Umnoputera masih berjalan. Projek diberi kepada orang yang bukan ahlinya. Jika sikap ini berterusan diamalkan oleh Umno, nescaya Melayu tidak akan maju. Jawabnya tunggu ikan keli tumbuh sisik baru Melayu boleh maju," ujarnya sinis.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan program untuk Memperkasa Ekonomi Bumiputera yang merangkumi lima fokus utama di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, 14 September lalu. 



Idris menambah, program yang diumumkan Najib itu sebenarnya meneruskan tradisi Umno yang hanya bercakap tentang ekonomi Melayu pada musim pilihan raya dan Persidangan  Agung Umno guna meraih undi orang Melayu dan perwakilan Umno. 



"Slogan hidup Melayu berdegar-degar berkumandang ketika musim ini untuk menarik sokongan undi walaupun kita ketahui bahawa ini hanya sandiwara Umno sahaja. Sebab itu Melayu gagal dimertabatkan walaupun sudah 56 tahun merdeka," katanya.



Dalam kenyataan medianya, beliau memberi contoh diskriminasi terhadap Kelantan yang   majoriti rakyatnya orang Melayu. 



"Selama 23 tahun Kelantan dinafikan hak sebagai sebuah negeri yang sah. Pada hal  Kerajaan Kelantan dipilih secara demokrasi, tetapi royalti (minyak) dinafikan. 



"Apa dosa Kelantan? Bukankah Kelantan negeri Melayu. Apakah pemimpin Umno anggap Melayu hanya selamat di bawah Umno?" soal beliau.



Harakahdaily

Tiada ulasan: