25 Oktober 2013

Bajet 2014: Antara penjimatan kerajaan dan bebanan rakyat

20 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Analisis|Harakahdaily,25 Okt 2013


BEBERAPA jam dari sekarang, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2014 yang sudah sememangnya ditunggu-tunggu khalayak umum.

Tidak seperti pembentangan bajet-bajet negara sebelum ini yang menyaksikan pelbagai habuan dan insentif diberikan kepada sektor-sektor terpilih termasuk kakitangan awam dan rakyat berpendapatan rendah, bajet negara kali ini dijangka sarat dengan pengumuman-pengumuman 'mengejutkan' bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk mengecilkan defisit belanjawan negara yang semakin membimbangkan.

Langkah mengurangkan defisit negara adalah wajar di saat ekonomi negara berhadapan dengan suasana yang tidak menentu sama ada disebabkan faktor dalam negara mahupun di peringkat global. Tetapi apa yang perlu dilihat adalah setakat mana komitmen kerajaan untuk mengamalkan sikap berhemah dalam berbelanja dan mencari langkah-langkah berani dan berkesan dalam mengurangkan defisit (dengan mengurangkan perbelanjaan  dan meningkatkan pendapatan negara) tanpa memangsakan kesejahteraan hidup rakyat.

Bernama melaporkan bahawa teras Bajet 2014 adalah "mencergaskan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat secara inklusif".  Najib  dijangka membentangkan cadangan secara meluas termasuk cadangan cukai dan insentif bagi meningkatkan hasil negara.

Salah satu cadangan kerajaan BN yang diyakini umum pasti dilaksanakan adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).  GST dijangka menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan dan dilaksanakan dalam tahun taksiran 2015. Dengan andaian kadar 4%, GST akan menggantikan 10% cukai jualan dan 5% cukai perkhidmatan yang sekarang ini dikenakan kepada segmen terpilih.

Tidak seperti cukai jualan dan cukai perkhidmatan, GST akan dikenakan kepada semua penggunaan barangan dan perkhidmatan  di semua peringkat rangkaian bekalan.

Jika terlaksana, 40 barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan  susu tepung akan disenaraikan sebagai barangan tidak bercukai (zero-tax items) manakala perkhidmatan perlu seperti penjagaan kesihatan akan diklasifikasikan sebagai 'dikecualikan cukai'.

Bagaimanapun langkah ini tidak mampu menjadikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana menarik nafas leka apatah lagi bila Menteri Perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek beberapa kali emngingatkan rakyat supaya 'bersedia' kerana kerajaan mungkin akan menurunkan subsidi tertentu dalam belanjawan 2014!

Bernama juga melaporkan bahawa Perdana Menteri dijangka mengumumkan langkah-langkah mengurangkan subsidi secara beransur-ansur, satu langkah yang pastinya turut membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana secara beransur-ansur!

Kontras dengan strategi belanjawan yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Pakatan Rakyat mengumumkan Belanjawan 2014 pada 24 Oktober lalu di Bangunan Parlimen.

Dengan mensasarkan peningkatan hasil negara kepada RM226.7 bilion pada 2014 berbanding  RM218.3 bilion tahun ini, nisbah defisit kepada KDNK dikurangkan kepada 3.2% pada tahun 2014 daripada 4.6% tahun ini. 

Semua ini bakal dicapai sekiranya Kerajaan Persekutuan mengamalkan pentadbiran telus, bertanggungjawab dan berintegriti, yang sekaligus akan mewujudkan persekitaran ekonomi yang berdaya saing dan seterusnya mempertingkatkan pendapatan rakyat secara amnya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menegaskan komitmen politik PKR, PAS dan DAP untuk membanteras ketirisan, pembaziran dan rasuah sifar. 

"Ini adalah antara sebab utama mengapa kita (Pakatan Rakyat) boleh mempunyai sasaran konsolidasi fiskal yang lebih mampan daripada BN, dan ini telah pun terbukti di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan," tegasnya.

Dalam Belanjawan 2014 yang bertemakan “Mempertahankan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang”, Pakatan Rakyat mensasarkan pengurangan sebanyak 10 % bagi semua bekalan dan perkhidmatan daripada perbelanjaan operasi di mana Kerajaan Persekutuan boleh merealisasikan penjimatan tahunan sebanyak RM10 bilion hingga 15 bilion, berbanding dengan pembaziran di bawah pengurusan BN yang dianggarkan RM30 bilion  hingga RM40 bilion setahun.

Empat teras utama Pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat adalah: 
1) Memperkukuhkan Kedudukan Fiskal dan Memperkasa Kewangan Awam; 
2) Mempertingkatkan Kesejahteraan dan Kualiti Kehidupan Rakyat - Agenda Sebuah Negara Berkebajikan; 
3) Memastikan Pembangunan Ekonomi yang Lebih Seimbang, Inklusif dan Mampan; dan 
4) Merungkai Potensi Sebenar dan Mempertingkatkan Daya Saing Jangka Panjang Negara.


Berhubung GST, Pakatan Rakyat menyifatkan GST sebagai cukai regresif kerana berdasarkan  peratusan pendapatan;  golongan berpendapatan rendah terpaksa membayar cukai lebih tinggi daripada golongan  berpendapatan tinggi. Ini bermakna golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan akan menanggung beban cukai yang lebih tinggi berbanding mereka yang kaya.

"Sebaliknya Belanjawan Pakatan Rakyat memberi penekanan kepada Penjimatan Ringgit (PR) dan bukan kenaikan harga. Program-program yang merugikan rakyat seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menelan belanja tahunan RM800 juta dan juga Program Susu 1Malaysia yang menelan belanja sebanyak RM170 juta harus dihapuskan. Maka Pakatan Rakyat menolak sepenuhnya pengenalan GST,” ujar Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke yang mewakili DAP.

Selain itu, Pakatan Rakyat juga bercadang untuk menambah bilangan pembayar cukai dengan mempertingkatkan pendapatan rakyat dan tenaga kerja terutamanya di kalangan orang muda sebagai salah satu mekanisme penjanaan hasil yang lebih tuntas.

Untuk mempertingkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat, Pakatan Rakyat mengusulkan pengurangan kos sara hidup dengan mengawal harga bahan makanan, rumah, pendidikan, penjagaan kesihatan dan produk farmasi, dan utiliti.


“Kami mencadangkan langkah-langkah yang praktikal dalam menangani kos hidup yang tinggi dan menekan rakyat secara keseluruhan; dalam masa yang sama tidak memberi bebanan tinggi kepada kerajaan dan tidak memberi impak negatif kepada industri atau sektor itu sendiri,” kata wakil PAS yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Dalam komitmen memastikan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif, Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat memberi penekanan untuk merapatkan jurang di antara bandar dan luar bandar seperti pengenalan Skim Insuran Petani, Nelayan dan Penternak; Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak seperti semakan semula Dasar Kabotaj, meningkatkan akses kepada utiliti dan pendidikan di kawasan pedalaman, dan menyegerakan pembinaan dan penaiktarafan jalan raya terutamanya Lebuhraya Pan-Borneo.

Pakatan Rakyat juga komited untuk menggalakkan lebih penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi dan kepimpinan seperti penubuhan Dana Sumbangan Wanita Malaysia.

Bagi golongan OKU, mereka dicadangkan menerima kenaikkan elaun sara hidup kepada RM500 sebulan bagi OKU yang bekerja dengan pendapatan bulanan di bawah RM1,200; dan peruntukan khas bulanan bagi Orang dengan Ketidakupayaan Teruk dengan maksimum RM1,000.

Nasib Orang Asal juga akan lebih terbela dengan pelaksanaan cadangan dalam Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai hak-hak tanah Orang Asal.

Butiran yang dikeluarkan Jawatankuasa Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat ini patut dinilai rakyat. Ia bukanlah satu angan-angan kosong yang tidak berpijak di bumi nyata malah telah dilaksanakan mengikut keupayaan di beberapa negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat. 

Kesimpulan awal yang boleh dibuat daripada dua belanjawan ini adalah kedua-duanya bermatlamat mengurangkan defisit, tetapi wahananya nampak jelas  berbeza. Satunya dengan membebankan rakyat yang memilih kerajaan; satu lagi dengan meningkatkan kebertanggungjawaban kerajaan yang dipilih rakyat.

Tiada ulasan: