25 Oktober 2013

Kerajaan BN enggan teruskan legasi Ustaz Azizan


20 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
JERAI: PAS Kedah kesal terhadap Kerajaan BN Negeri Kedah yang enggan meneruskan program bermanfaat yang dicadang dan dilaksanakan Kerajaan PAS sebelum ini.

Ketua Pembangkang Dun Kedah Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, keputusan kerajaan BN di bawah Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir menangguhkan pembinaan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi sangat tidak wajar dan mengabaikan kepentingan pendidikan anak-anak Kedah.

"Kemudahan yang PAS cuba sediakan pada zaman pemerintahan kita diabaikan dan kerajaan membiarkan pelajar belajar dalam keadaan tidak selesa di kampus sementara di Kulim.

"Kita dapat maklumat daripada pihak pengurusan Maahad Tahfiz di Kulim, pengambilan sudah kali kedua dengan pelajar seramai seratus orang tapi pengambilan ketiga tidak dapat dilakukan kerana tidak cukup tempat.

"Ini satu lagi perkara yang tak seharusnya berlaku kerana pendidikan ini seharusnya kita harus beri sokongan dan dokongan," kata beliau pada sidang media di Markas Induk PAS PRK Sungai Limau di Batu 15, dekat sini, hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan PAS di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Azizan Razak telah meluluskan peruntukan RM3 juta untuk pembinaan Maahad Tahfiz Di Pulau Tuba.

Pecah tanah juga telah dilakukan dan tender diberikan kepada syarikat yang berkelayakan.

Namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-13, projek tersebut ditangguhkan.

Justeru PAS Kedah berharap Kerajaan Negeri Kedah menimbangkan semula keputusan tersebut dan meluluskan projek untuk manfaat anak-anak Kedah.

"Kita harap perkara ini akan dapat diberi perhatian oleh kerajaan negeri demi pendidikan anak-anak Kedah," katanya.

Harakahdaily.-

Tiada ulasan: