26 Oktober 2013

PAS Gesa Kedah Isytihar 4 November Cuti Umum


21 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

YAN: PAS menggesa Kerajaan Negeri Kedah mengisytiharkan cuti umum sempena hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November depan.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemberian cuti umum kepada rakyat Kedah akan membolehkan pengundi DUN Sungai Limau yang berada di seluruh negeri itu untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Saya harap (Menteri Besar) Datuk Mukhriz (Mahathir) buat keputusan segera supaya mengisytiharkan cuti umum pada 4 November ini bagi negeri Kedah.
"Ini bagi membolehkan sebahagian pengundi yang bekerja dalam pelbagai sektor sama ada awam, atau swasta dan berada di seluruh negeri balik ke kawasan mereka untuk mengundi," katanya pada sidang media harian jentera pilihan raya PAS di markas induk PRK Sungai Limau di sini, Sabtu.
Menurut Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS itu lagi, pemberian cuti umum dilihat relevan berikutan 5 November merupakan cuti umum berdasarkan kalendar Persekutuan sempena sambutan Awal Muharram bagi umat Islam.
"Apabila kerajaan isytiharkan cuti umum ia boleh memberikan cuti yang panjang kepada rakyat bermula dengan sambutan perayaan Deepavali pada hari Sabtu, 2 November," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November (Isnin) depan yang jatuh pada hari bekerja sebagai hari pengundian bagi PRK Sungai Limau susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.
PRK DUN Sungai Limau menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat menentang wakil Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

mStar/-

Tiada ulasan: