28 Oktober 2013

Persaingan bukan punca kes bunuh berleluasa, kata pakar

23 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Kejadian rompak dan bunuh di Ambank cawangan USJ Sentral, Subang Jaya. Gambar fail.








Tekanan kehidupan di bandar dan dibebani hutang mungkin menjadi penyebab tetapi ia  bukan faktor utama empat kejadian bunuh di tiga lokasi di Lembah Kelang minggu lalu, kata pakar kriminologi dan psikologi.
Mereka mengakui individu yang mengalami masalah mental turut wujud tanpa disedari di bandar raya ini kerana mereka tidak bercampur dengan orang lain dalam mengejar cita-cita.

Pakar Psikologi dan Kriminologi, Dr Geshina Ayu Mat Saat, berkata di Lembah Klang - bandar paling pesat membangun di Malaysia - mempunyai jumlah kes tekanan perasaan tertinggi di negara ini.


"Semua orang mengalami tekanan dalam hidup mereka. Ada yang ringan dan berat. Terdapat beberapa ciri berlainan menangani tekanan perlakuan, kognisi dan sikap.
"Persoalannya mengapa mahu membunuh?" katanya dan menambah tekanan adalah antara sebab pembunuhan.
Rabu lalu, mayat Ng Yuk Tim, 15, ditemui di dalam beg bimbit di tepi jalan di Shah Alam. Seorang suspek lelaki berusia 23 tahun, rakan kepada gadis berkenaan ditahan selepas dilaporkan mengakui cuba merogol gadis berkenaan sebelum menyerangnya menggunakan alat angkat berat atau 'dumbell' dan membunuhnya.
Pada petang hari sama, seorang pengawal keselamatan menembak mati kakitangan Ambank di cawangan USJ Sentral, Subang Jaya.
Ibu kepada dua anak, Noazita Abu Talib, 37, ditembak di muka selepas membuka pintu peti besi.
Pengawal keselamatan yang mendapatkan pekerjaan menggunakan kad pengenalan palsu melarikan RM450,000 dan memberikan RM20,000 wang berkenaan kepada saudaranya.
Keesokan harinya, seorang lelaki berusia 26 tahun mengamuk dan menikam empat individu dengan dua daripadanya meninggal dunia di Kuala Lumpur.
Suspek menikam pemilik kedai berusia 60 tahun dan pembantunya berusia 40 tahun di Stesen LRT Gombak dan melarikan diri dengan menaiki van ke Taman Melati.
Dia kemudiannya melanggar van lain dan menikam pemandunya hingga mati. Suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan van sebelum melanggar sebuah kereta dan menikam pemandu kereta berkenaan, pelajar kolej dengan tiga tikaman yang menjadi sebab kematian.
"Ada yang kata tiga insiden itu berkaitan zaman kanak-kanak. Namun sukar untuk ditentukan.
"Menyalahkan tekanan dan masalah kewangan terlalu mudah kerana semua orang mengalami masalah sama," kata pakar psikiatris, Dr Subash Kumar Pillai kepada The Malaysian Insider.
Geshina turut menawarkan penjelasan berdasarkan kajian profil beliau terhadap jenayah di Malaysia.
"Kebanyakan rakyat Malaysia melakukan pembunuhan yang tidak dirancang dan menggunakan barang yang diperolehi secara cepat di persekitaran mereka. Mereka tidak membawa senjata dan mencari mangsa.
"Mereka yang kami temubual mengakui mengalami tekanan dan meluahkannya melalui tindakan mereka," katanya.
Profesor Dr P Sundramoorthy daripada Universiti Sains Malaysia, berkata stres menjadi punca penjenayah melakukan tindakan berkenaan namun bukan faktor berlakunya kes keganasan domestik.
"Kita hadapinya, hidup ini penuh dengan tekanan. Kita semua terdedah kepada tekanan kewangan, anak, tempat kerja dan banyak lagi.
"Kebanyakan daripada kita bagaimanapun berupaya menanganinya," katanya.
Sundramoorthy berkata, sentiasa ada penyebab yang menjadikan seseorang melakukan tindakan di luar batasan.
"Kajian membuktikan majoriti mereka terlibat keganasan individu yang stabil,” katanya.
Pakar Saraf, Dr Nivashinie Mohan, berkata tekanan kehidupan mampu menjadikan sesetengah individu bertindak dalam keadaan tidak rasional kerana majoriti orang dewasa sukar mencari tempat meluahkan tekanan mereka.
"Sebagai masyarakat kita menjadi semakin individualistik dan memencilkan diri daripada orang lain," katanya, dan menambah ia adalah lumrah bagi negara membangun.
Beliau berkata, mereka yang mengalami gangguan mental mungkin tidak disedari memandangkan kurang berinteraksi dengan orang ramai.
"Jika saya bertindak pelik secara tiba-tiba, sudah pasti rakan saya akan perasan dengan tindakan saya dan boleh berbuat sesuatu. Namun mereka yang jauh daripada keluarga tidak. Mereka hidup bersendirian," katanya. 
themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: