24 Oktober 2013

Perundangan Syariah adil untuk semua


19 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Jofri Jaraiee PAS Sarawak

Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara berdaulat yang terletak di pantai utara pulau Borneo, di Asia Tenggara.

Majoriti penduduknya beragama Islam dan sistem politik di negara ini ditadbir oleh perlembagaan dan tradisi kebangsaan Melayu Islam Beraja, konsep Melayu Islam Beraja (MIB). 

Ketiga-tiga komponen MIB perlindungan budaya Melayu, agama Islam, dan rangka kerja politik di bawah pemerintahan beraja. Dua sistem perundangan diamalkan iaitu 'common law' dan juga perundangan Syariah.

Baru-baru ini, Sultan Brunei Darussalam, Hassanal Bolkiah, mengumumkan undang-undang Syariah akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada undang-undang jenayah Islam yang ketat, menjadikan Brunei negara pertama di Asia Tenggara untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah di peringkat kebangsaan, Associated Press melaporkan.

Hassanal Bolkiah bertitah undang-undang itu perlu dianggap sebagai satu bentuk "bimbingan khas" dari Allah, dan bahawa ia akan menjadi "sebahagian daripada sejarah besar" Brunei, sebuah negara kecil di Pulau Borneo.

Undang-undang ini akan dikuatkuasakan dalam tempoh enam bulan dan ianya merangkumi hukuman seperti pemotongan untuk kecurian dan rejam bagi zina, Bolkiah berkata. Kanun Keseksaan Syariah hanya akan digunakan untuk umat Muslim.

Yang Berhomat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, ulama Islam terkemuka di negara itu memberitahu persidangan Selasa bahawa undang-undang Syariah "menjamin keadilan untuk semua orang dan perlindungan kesejahteraan mereka".

Ini membuktikan bahawa perundangan Syariah boleh dilaksanakan sekiranya pemerintah negara itu sendiri yakin akan keadilan perundangan Syariah.

Bagi yang bukan Muslim, isu ini bukan untuk menakutkan mereka kerana ianya tidak melibatkan mereka sebab mereka masih tertakluk di bawah undang-undang am (common law). Yang menyebabkan orang ramai takut sebab mereka tidak mendapat penerangan dan penjelasan yang sebenarnya dari pihak yang pakar dalam perundangan Syariah.

Apabila orang ramai yang kurang pengetahuan berbicara tentang perundangan Syariah maka timbullah bermacam-macam perkara yang tidak benar tentang keadilan perundangan Syariah.

Sekiranya Brunei berjaya melaksanakan perundangan syariah ini dengan baik dan adil, kita yakin ini akan menjadi suatu contoh terbaik untuk negara kita melaksanakannya secara berperingkat.

Sebagai contoh, negeri yang majoritinya menganut agama Islam seperti Kelantan dan Terengganu boleh melaksanakan perundangan Syariah untuk umat Muslim tanpa mengira fahaman politik.

Cara yang terbaik untuk memberi kefahaman tentang perundangan Syariah ialah dengan mengadakan dialog terbuka antara agama dan juga perlu disiarkan dalam media massa seperti mana dilakukan oleh kerajaan Brunei.

Setiap hari Mufti Kerajaan Brunei akan menerangkan tentang kebaikan dan keadilan perundangan Syariah dalam media massa seperti Radio/TV untuk rakyat mendengar penjelasan tentang perundangan syariah menurut Al-Quran dan Hadis.

Apabila rakyat mendapat penjelasan dan maklumat yang betul sudah pasti rakyat akan faham betapa indahnya perundangan syariah dilaksanakan.

Kalau di negara kita setiap perundangan yang akan dilaksanakan tanpa diberitahu atau diterangkan kepada rakyat terlebih dahulu boleh dilaksanakan dan mengapa pula perundangan Syariah yang diperintah oleh Allah Tuhan Pencipta Alam mesti diragui keadilannya?

Seperti yang ditegaskan sebelum ini, perundangan Syariah hanya dikenakan keatas umat Muslim dan yang bukan Muslim boleh buat pilihan untuk memilih perundangan seperti yang sedia ada.

Tentu ada orang persoalkan mengapa ada dua sistem perundangan dalam negara ini?

Selama ini pun kita telah melaksanakan dua sistem perundangan iaitu ‘common law’ dan perundangan Syariah dalam negara ini.

Walaupun perundangan Syariah di Malaysia masih dipertikaikan kerana tidak melaksanakan sepenuhnya hukuman mengikut Al-Quran dan Hadis.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menambah baik perundangan Syariah sedia ada mengikut sepenuhnya perintah seperti yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis supaya ianya betul-betul menepati perundangan Syariah yang sebenarnya.

Semoga usaha kerajaan Brunei berjaya dalam melaksanakan perundangan Syariah dengan adil dan saksama sebagaimana yang di perintah oleh Allah.

Diharap negara kita juga perlu mencontohi negara Brunei dengan memberi  peluang perundangan Syariah dilaksanakan di negeri yang majoriti umat Muslim dulu dan kita juga menggesa agar perundangan Syariah kita ditambah baik sepenuhnya supaya ianya selari dengan tuntutan dan perintah Allah dalam Al-Quran dan Hadis.

Tiada ulasan: