19 Oktober 2013

Keputusan Tidak Rasmi: Zahid, Shafie Kekal Naib Presiden Umno, Hishammuddin Dahului Mukhriz

14 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Zahid (kiri) dan Shafie.
KUALA LUMPUR: Dua penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal masing-masing berjaya mempertahankan jawatan berdasarkan keputusan tidak rasmi dalam pemilihan parti pada Sabtu.
Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin pula mendahului Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi merebut satu lagi jawatan naib presiden parti.

Kiraan setakat 8 malam menunjukkan Zahid memperoleh 130 undi, diikuti Shafie (119), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (73), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (57), Tan Sri Mohd Ali Rustam (7) dan Tan Sri Isa Samad (8).
Beberapa bahagian yang mengundi Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri adalah Gerik, Beruas, Paya Besar, Raub, Padang Rengas, Pagoh, Bentong, Tambun, Kampar, Ipoh Barat, Cheras, Tapah, Batu Gajah dan Bukit Bendera.
Manakala Shafie yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperoleh undi dari bahagian Raub, Padang Rengas, Pagoh, Bentong, Tambun, Kampar, Ipoh Barat, Tapah dan Batu Gajah.
Sementara itu, seorang lagi penyandang naib presiden iaitu Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memperoleh 73 undi dengan sebahagian undinya dari bahagian Padang Rengas, Pagoh, Bentong, Tapah, Cheras dan Bukit Bendera.
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berada di tempat keempat dengan 57 undi.
Dua lagi calon naib presiden iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad masing-masing berada jauh di belakang dalam merebut jawatan itu.
Dua jawatan tertingi yang dimenangi tanpa bertanding adalah Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengekalkan jawatan sebagai presiden manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatannya sebagai timbalan presiden.
Penyandang jawatan naib presiden ialah Ahmad Zahid, Hishammuddin dan Shafie.
Mstar/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Adakah pengundi/ rakyat sudah melupakan Tun MM, sehinggakan anak TMM dapat undu yg paling chorot .