10 November 2013

Ilham Centre: Pakatan tidak perintah selagi rakyat sokong politik wang


6 Muharram 1435H. [MOD] -

Badan penyelidik Ilham Centre menyarankan kepada pembangkang Pakatan Rakyat (PR) supaya mendidik pengundi menolak politik wang sekiranya mahu memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14  akan datang.
Berdasarkan penemuan kajian terkini semasa pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Limau baru-baru ini,
Ilham Centre mendapati pengundi tidak kisah mengenai politik wang ataupun habuan gula-gula yang diberikan semasa proses demokrasi sedang berjalan.

"Di Sungai Limau, kita tanya mengenai kewajaran pengundi menerima habuan politik dan 63% kata wajar dan boleh diterima," kata Pengerusi Ilham Center Muhamad Hisommudin Bakar kepada The Malaysian Insider.
Muhamad Hisommudin berkata, sikap sedemikian adalah sesuatu yang membimbangkan kerana menunjukkan satu corak demokrasi yang tidak sihat di kalangan pengundi.
"Ini maksudnya mentaliti orang kita ini yang menerima rasuah politik, perkara ini termasuklah pembangkang. Sepatutnya mereka gagaskan menolak politik wang ini.
"Tapi mereka ini beritahu pengundi apabila diberi duit, ambil tetapi jangan pangkah," katanya.
Beliau menggesa PR sekiranya mahu memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan perlu mendidik pengundi tentang politik wang ini.
"Sebenarnya dalam iklim demokrasi sebenar, jika kita nak mendidik rakyat menolak rasuah politik politik, kita kena mula sejak awal.
"Kalau dengan peratusan ini, sampai bila-bila pun pembangkang tidak boleh menang," katanya.
Sebelum PRU13 yang berakhir 5 Mei lalu, parti pemerintah Barisan Nasional (BN) berbelanja besar dengan pelbagai pemberian yang dianggap oleh pengkritik sebagai "gula-gula politik".
Pengkritik dan pemerhati tidak menolak berbilion ringgit dihabiskan oleh BN sepanjang tempoh berkempen, malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan berbelanja lebih besar semasa berkempen berbanding perdana menteri sebelumnya.
Bagaimanapun, Najib masih gagal untuk merampas kembali majoriti dua pertiga di Parlimen malah kehilangan undi popular buat kali pertama dalam sejarah kepada PR semasa PRU13 lalu.
-themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: