14 November 2013

Mesir tarik balik perintah darurat

10 Muharram 1435H. [MOD] -

Kaherah: Mahkamah Mesir menarik balik perintah darurat tiga bulan di negara itu kelmarin, langkah yang mungkin membantu kerajaan disokong tentera memulihkan keadaan selepas penyingkiran Presiden Mohamed Morsi. 

Namun, ketika perintah darurat diarah ditamatkan, kerajaan juga semakin hampir meluluskan satu undang-undang mengenai tunjuk perasaan yang dituduh pembangkang sebagai cara baru membendung protes.


Kerajaan melaksanakan darurat dan perintah berkurung sejak 14 Ogos lalu apabila pasukan keselamatan menyuraikan dua bantahan duduk di sini oleh penyokong Morsi, mencetuskan pertumpahan darah terburuk Mesir. 

Mahkamah memutuskan perintah darurat tamat jam 4 petang (1400 GMT) Selasa, dua hari lebih awal berbanding dijangka. 

Kerajaan berkata dalam satu kenyataan ia komited mematuhi perintah mahkamah dan menunggu satu salinan keputusan untuk melaksanakannya. 

Ia menamatkan perintah berkurung waktu malam yang menjejaskan ekonomi, walaupun pasukan keselamatan tidak akan menarik balik perintah berkurung sehingga dimaklumkan oleh kerajaan. 

Perintah berkurung berkuat kuasa dari jam 1 pagi hingga 5 pagi, kecuali Jumaat apabila ia bermula jam 7 malam. 
Perlindungan tambahan 

Ikhwanul Muslimin pimpinan Morsi berkata, perintah darurat itu memberi perlindungan tambahan kepada askar yang membunuh beratus penyokong Morsi dan menahan ribuan yang lain sejak kejatuhannya 3 Julai lalu. 

Kira-kira 250 anggota pasukan keselamatan terkorban sejak itu, kebanyakannya di Semenanjung Sinai tanpa undang-undang dengan seorang pegawai maut dalam serangan ke atas sebuah balai polis. 

Ketua tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi menikmati sokongan kebanyakan rakyat Mesir namun pengkritiknya berkata kerajaan baru mensasarkan untuk memulihkan corak pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak. 

Perintah darurat dan berkurung dijangka dilaksanakan mulai 14 Ogos lalu, namun kerajaan melanjutkannya selama dua bulan pada 12 September lalu. 

Deraf perundangan untuk mengawal selia bantahan dikecam pengkritik sebagai bahaya terhadap hak untuk membantah, satu hak dilihat aktivis sebagai satu daripada pencapaian utama kebangkitan 2011 ke atas Mubarak, yang menghapuskan semua tentangan awam. 

Presiden sementara Adly Mansour menerima deraf itu daripada kerajaannya dan sedang menelitinya, kata pejabatnya. 

AGENSI

Tiada ulasan: