06 November 2013

Mesir tidak patut halang Osama Morsi ke Malaysia

2 Muharram 1435H. [MOD] -
SHAH ALAM:Kerajaan Mesir digesa membenarkan anak mantan Presiden Mesir yang digulingkan, Osama Morsi(gambar) untuk ke luar negara bagi menyambung pelajarannya di Malaysia.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata tindakan menghalang keluar dari Mesir itu adalah bertentangan dengan prinsip Undang-Undang Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia.


Katanya, adalah tidak wajar kerajaan kudeta Mesir mengamalkan politik membalas dendam terhadap keluarga Dr Morsi yang digulingkan secara tidak demokratik.

“Apa hak kerajaan kudeta Mesir untuk menghalang beliau keluar dan menyambung pelajarannya di Malaysia, sedangkan itu adalah haknya.

“Jadi dia tidak sepatutnya dihalang kerana itu adalah tindakan yang ekstrem dan tidak munasabah serta tidak diterima masyarakat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Muhammad berkata, beliau mengingatkan Kerajaan Malaysia supaya tidak bertindak menghalang kemasukan Osama Morsi ke negara ini.

“Kita harap Kerajaan Malaysia tidak terpengaruh dengan tindakan kerajaan kudeta Mesir dan perlu mengalu-alukan kehadirannya,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Osama dikatakan mahu menaiki pesawat Egypt Air ke Malaysia gagal melepasi pemeriksaan Imigresen apabila namanya tersenarai antara individu yang tidak boleh keluar dari Mesir.

Osama yang mengulas tindakan kerajaan kudeta Mesir itu berkata, tindakan itu adalah satu lagi siri pelanggaran undang-undang dan pencabulan hak asasi.

Kehadiran Osama di Malaysia untuk menyambung pengajian bagi melengkapkan PhDnya dan tidak ada kaitan dalam sebarang urusan perbicaraan bapanya, Mohamed Morsi.

Tiada ulasan: