06 November 2013

Pemuda PAS Malaysia selar kenyataan Karpal.

2 Muharram 1435H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta parti berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai. Kami boleh bersetuju jika parti berteraskan bangsa dan perkauman tidak dibenarkan, tetapi jika mempertikaikan perjuangan PAS yang berteraskan agama Islam, kami merasakan ianya satu kenyataan yang melulu dan tidak bertanggungjawab kerana ianya tidak perpaksi kepada realiti sebenar.

Bagi kami, isunya utama sekarang adalah disebabkan semangat perkauman yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) khususnya Umno demi meraih sokongan serta mendapat kepentingan daripada itu. Karpal sepatutnya bertegas untuk melawan perkauman yang dididik oleh BN, bukannya menyalahkan PAS iaitu sebagai satu parti berteraskan Islam. Di Malaysia, PAS adalah sebuah parti tunggal yang meletakkan agama iaitu Islam dalam dasar perjuangannya tidak akan sesekali bersetuju mana-mana pihak mempertikaikannya.

Karpal perlu tahu, PAS adalah parti yang berasaskan semua kaum dengan tidak menjadikan sifat assobiyyah iaitu perkauman sebagai teras perpaduan. PAS bertegas untuk melawan perkauman dan dalam masa yang sama berusaha memupuk perpaduan di dalam negara ini. Islam sememangnya mengajar umatnya untuk sentiasa hidup dalam perpaduan dan tidak menjadikan perpezaan agama dan bangsa itu sebagai jurang untuk bersatu padu. PAS telah mempraktikkannya dalam perjuangannya ketika ini.

Kalau kita lihat sekarang, PAS turut membenarkan pembabitan atau penyertaan ahli daripada apa sahaja bangsa dan agama sekali pun dengan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS dan ini sudah cukup membuktikan PAS menolak sentimen perkauman dan inginkan perpaduan kaum. PAS sudah berjaya membuktikannya misalnya di Kelantan, parti berteraskan Islam telah berjaya menyatu-padukan semua bangsa dan ianya adalah praktikal dan bukannya hanya retorik semata-mata.

Tiada sebarang penganiayaan dan penindasan yang berlaku terhadap penganut selain agama Islam di Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu. Ini sudah cukup kenyataan Karpal ini langsung tidak relevan. Disamping itu Karpal perlu kembali kepada perlembagaan Malaysia bahawa Islam adalah agama persekutuan dan rasmi yang telah disepakati bersama. Sebagai pengamal undang-undang amat dangkal bila Karpal membuat kenyataan yang sedemikian.

Kami beranggapan, kenyataan Karpal Singh hanya pandangan peribadi yang sudah pasti tidak disokong oleh mana-mana parti komponen lain hatta daripada pimpinan DAP itu sendiri.


DR. RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: