06 November 2013

Takziah buat keluarga Allahyarham Suhaimi Said


2 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,06 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Suhaimi Said, Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal PKR yang kembali ke rahmatullah semalam.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, DPPM menganggap pemergian allahyarham ke rahmatullah adalah suatu kehilangan kepada perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran di negara ini. 

Menurutnya, sukar bagi generasi baharu untuk mencari bintang terbilang yang telah mengorbankan segala-galanya untuk perjuangan rakyat di negara ini.

“Beliau adalah insan dan tokoh hebat, melalui pelbagai ujian yang berat termasuk pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak dua kali di samping dibuang daerah,” ujarnya dalam satu kenyataan. 

Beliau menambah, allahyarham juga cekal berjuang terutama isu yang membabitkan Felda sehingga ditekan dan diambil tindakan berat. 

Katanya lagi, allahyarham adalah insan contoh pemimpin berjiwa ikhlas dan sabar dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang. 

“Seumur hidupnya diabadikan dengan perjuangan menegakkan kebenaran serta hidup bersama rakyat dan tidak mengejar pangkat, harta dan kekayaan untuk kepentingan dirinya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Justeru, kata beliau DPPM mengharapkan semoga keluarga allahyarham tabah menghadapi ujian seberat ini dan  mendoakan agar roh almarhum agar ditempatkan sebagai hamba yang diredhai di sisi Allah SWT. 

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi facebook semalam turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham. Al-Fatihah

Tiada ulasan: