09 November 2013

Tragedi 37 Maut Di Genting: Bas Dipandu Melebihi Had Laju

5 Muharram 1435H. [MOD] -
Beginilah keadaan bas yang remuk akibat terhumban ke dalam gaung sehingga meragut 37 nyawa di Genting Highlands pada 21 Ogos lalu.
KUALA LUMPUR: Nahas di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lepas, yang mengorbankan 37 nyawa manakala 16 lagi cedera, berpunca daripada beberapa faktor antaranya dipandu laju ketika menuruni kawasan berbukit.

Rumusan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) itu, yang didedah pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media Jumaat, menunjukkan bas berkenaan dipandu melebihi 50 km sejam.
Beliau berkata hasil analisis dan rekonstruksi terhadap kemalangan itu oleh Miros mendapati bas berkenaan dipandu laju semasa menuruni kawasan berbukit yang berselekoh sehingga menyebabkan ia hilang kawalan dan merempuh tembok penghadang sebelum terhumban dan melanggar batu besar di dalam gaung.
"Enam kesan brek ditemui di lokasi kemalangan dan pada kesan brek kelima, ditemui kesan geseran bahagian bawah bas akibat tayar pecah sebelum bas itu melanggar tembok penghadang dalam kelajuan 61.2km sejam," katanya.
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata faktor penyumbang lain ialah brek tidak cekap berfungsi selain lokasi Truck Escape Ramp (TER) yang terlindung oleh geometri jalan menyukarkan pemandu menggunakan TER untuk mengelak daripada terjatuh ke dalam gaung.
“Lorong jalan terlebih lebar iaitu antara 4.2 dan 4.9 meter daripada standard iaitu 3.25 meter menyebabkan pemandu cenderung memandu melebihi had kelajuan dan penggunaan tembok penghadang serta penghadang jalan didapati tidak sesuai sebagai halangan keselamatan di kawasan cerun dan turut menjadi punca kemalangan itu,” katanya.
Hishammuddin berkata kajian Miros juga mendapati implementasi syarikat bas itu, Genting Highlands Transport Sdn Bhd terhadap kod amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran, khususnya berkaitan aspek polisi keselamatan serta sokongan pengurusan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan dan pengurusan laluan dan risiko, adalah sangat tidak memuaskan.
Beliau berkata Miros bertemu pihak bertanggungjawab dalam melengkapkan kajian itu termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Hospital Kuala Lumpur, Lembaga Getah Malaysia, Puspakom Sdn Bhd, Genting Malaysia Bhd, Scania (Malaysia) Sdn Bhd, Bridgestone Tire Sales (Malaysia) Sdn Bhd dan pengusaha bas berkenaan.
Justeru, katanya, beberapa langkah segera diambil mulai 1 Dis, termasuk menubuhkan satu seksyen baharu dalam JPJ yang dinamakan Seksyen Profil Pemandu bagi memfokuskan kepada isu berkaitan pemanduan dan JPJ berkuasa menggantung atau membatalkan lesen memandu.
Hishammuddin berkata pegawai JPJ dan Puspakom akan ditempatkan di Genting Highlands bagi menjalankan pemeriksaan fizikal terhadap bas untuk menjamin keselamatannya dari sudut teknikal.
Turut dilaksanakan penguatkuasaan terhadap pemandu bas di Genting Highlands bagi memastikan kesihatan pemandu di tahap baik tanpa pengaruh dadah atau alkohol. Hishammudin berkata kementeriannya menubuhkan Panel Penasihat Bebas kepada Menteri Pengangkutan pada 29 Okt lepas untuk mengkaji semua aspek laporan siasatan oleh setiap agensi terbabit.
Beliau berkata panel itu diketuai Tan Sri Lee Lam Thye dan dianggotai lima lagi iaitu Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu, Presiden Institusi Jurutera Malaysia Choo Kok Beng, Presiden Chartered Institut of Logistics and Transport Malaysia Datuk Abd Radzak Abd Malek, Pakar Jurutera Perunding Mekanikal dan Kenderaan Bertauliah Datuk Foong Choy Chye dan Pakar Jurutera Perunding Lebuhraya/Juruaudit Keselamatan Jalan Bertauliah Aik Siaw Kong.
Panel itu akan mengemukakan syor serta penambahbaikan bagi mengelak risiko kemalangan yang sama di Genting Highlands sebelum dibawa kepada jemaah menteri untuk pertimbangan.
"Panel itu juga bertanggungjawab menasihati saya mengenai usaha bagi mempertingkat tahap keselamatan jalan raya di seluruh negara," katanya.
Mengulas pengusaha bas terbabit, Hishammuddin berkata tindakan undang-undang akan diambil termasuk tindakan sivil ke atas pengarah syarikat itu. Selain itu, pihaknya juga akan mengarahkan operasi bas berkenaan dihentikan. - BERNAMA

Tiada ulasan: