04 Disember 2013

Banjir: PAS kesal Kerajaan T'ganu lambat bertindak

30 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan sikap Kerajaan Terengganu yang lambat bertindak dalam membantu mangsa-mangsa banjir, meskipun keadaan banjir di negeri itu semakin buruk menjelang petang ini.


Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, bencana banjir di Terengganu tahun ini agak luar biasa berbanding tahun sebelum ini, sehingga pada hari kedua sudah banyak kawasan dinaiki air.

Menurut beliau, hujan lebat yang turun sejak semalam menyebabkan beberapa daerah di negeri Terengganu mengalami banjir dan antara daerah yang teruk dilanda banjir di Kemaman terutama di kawasan Air Putih.

"Sehingga tengah hari ini sudah banyak kawasan di Kemaman terutama di Air Putih dilanda banjir. Banyak penduduk yang terpaksa berpindah dan terperangkap.

"Tetapi kita amat kesal kerana sehingga sekarang masih tidak kelihatan bantuan-bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily tengah hari tadi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankkuasa PAS Pusat berkata, sikap pihak Kerajaan Terengganu yang lambat bertindak memghadapi bencana banjir dan nasib mangsa-mangsa banjir itu amat dikesali dan ia tidak seharusnya berlaku.

"Sedangkan mangsa-mangsa banjir sekarang berada dalam keadaan yang cukup mencemaskan. Mereka amat memerlukan bantuan segera daripada pihak kerajaan negeri dalam pelbagai aspek," ujarnya.

Beliau amat kesal dengan sikap pimpinan kerajaan negeri Terengganu yang lebih mementingkan Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC sekarang, sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak kerajaan negeri tidak hanya memandang sebelah mata dengan penderitaan yang dialami mangsa-mangsa banjir di kawasan itu dan di seluruh kawasan lain yang terlibat di negeri itu.

"Kita berharap agar pihak kerajaan negeri segera datang ke kawasan yang terlibat bagi memberikan segala bantuan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir dan orang ramai.

"Walaupun mereka sedang sibuk dengan urusan Perhimpunan Agung Umno, janganlah pula sampai nyawa rakyat pun hendak dipertaruhkan," ujar beliau.


Harakahdaily

Tiada ulasan: