28 Disember 2013

Barang naik akan gagalkan Wawasan 2020

24 Safar 1435H. [MOD] -
RAJA DR AHMAD ISKANDAR AL-HISS
27 Disember 2013

DEWAN Pemuda Pas Perak yakin kebimbangan Tun Dr Mahathir Mohamad tentang pentadbiran kerajaan dan pengurusan kewangan akan memberikan kesan terhadap kos sara hidup yang tinggi dan dalam masa sama akan menggagalkan negara untuk mencapai misi Negara Maju dalam Wawasan 2020.

Ini kerana jika kos sara hidup rakyat dibebani, mana mungkin Wawasan 2020 akan tercapai dengan dibandingkan pendapatan rakyat dan perbelanjaan yang tidak seimbang berkaitan keperluan harian rakyat selama ini.


Kami melihat, usaha kerajaan menstabilkan kewangan negara dengan menarik subsidi bukan sebagai jalan tepat bagi menjaga kos sara hidup rakyat.

Ini kerana berikutan itu, secara tidak langsung kos seharian rakyat telah bertambah tanpa ada penambahan daripada pendapatan biasa.

Dalam tempoh yang ada sebelum menuju Wawasan 2020, pendapatan gaji rakyat masih diparas kemiskinan belum dapat dicapai sepenuhnya dan ianya penyumbang kepada kos sara hidup rakyat yang tinggi.

Keseimbangan inilah menjadi faktor utama yang perlu dilihat oleh kerajaan dan kerajaan perlu mencari satu formula bagi mengimbangkan kos sara hidup rakyat.

Kami melihat, kawalan dengan penguatkuasaan yang dilakukan oleh kerajaan tidak memainkan peranan penting bagi membendung kenaikan barangan keperluan harian selama ini.

Ianya semata-mata bermusim dan bukan bersifat tindakan bagi membantu rakyat daripada dibebani.

Setelah naiknya sesuatu perkhidmatan, akan berantailah kenaikan barangan yang berkaitan.

Kerajaan perlu drastik mengurangkan kos pentadbiran akibat ‘kebocoran’ atau salah urus tadbir kewangan negara selama ini dan ianya adalah jalan paling tepat mengubah deretan kenaikan pelbagai barang keperluan rakyat sebelum Wawasan 2020!

RAJA DR AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Ketua,
Dewan Pemuda Pas Negeri Perak.

Tiada ulasan: