Seorang wartawan akhbar harian tempatan antara mereka yang cedera dalam pertembungan antara polis rusuhan dan puak antikerajaan sementara yang mengorbankan seorang anggota polis, di Bangkok hari ini.

Wartawan lelaki akhbar Thai Rath itu terkena tembakan peluru hidup dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Phayathai. Keadaannya dilapor tidak lagi kritikal.
Pertempuran sehari suntuk itu menyaksikan sekurang-kurangnya 97 cedera dan seorang anggota polis terbunuh akibat terkena tembakan di dada kanan, menurut jurucakap Pusat Perubatan Erawan, pada 5.30 petang tadi.

Sementara itu, menurut timbalan jurucakap bagi pemerintah polis pengaman Mej Jen Polis Anucha Romyanan, 14 penunjuk perasaan ditahan dan 25 anggota polis cedera.

Susulan pertempuran di stadium pada petang tadi, kumpulan penunjuk perasaan membuat sekatan di jalan Vibhavadi ke arah Lapangan Terbang Don Mueng selama sejam sebelum kembali ke kawasan perhimpunan utama di Monumen Demokrasi di Ratchadumnoen Avenue.

Mereka yang berhimpun di kawasan kediaman Perdana Menteri kerajaan sementara Yingluck Shinawatra bagi mendesak beliau meletak jawatan, turut kembali ke kawasan perhimpunan utama.

Ekoran keganasan hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand meminta pilihan raya umum yang dijadual pada 2 Feb depan ditangguh.

Pesuruhjaya SPR Thailand Somchai Srisuthiyakorn berkata pilihan raya harus ditangguh sehingga semua pihak bertelagah menyelesaikan isu mereka.

Sebanyak 30 parti politik telah mendaftar untuk menyertai pilihan raya umum itu termasuk parti Yingluck, Pheu Thai Party of Yingluck, manakala parti pembangkang utama Democrat Party memutuskan untuk memboikot pilihan raya berkenaan.

Baru-baru ini, pemimpin penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban berikrar untuk 'menutup' bandar raya Bangkok pada hari pengundian jika pilihan raya itu diteruskan.

- Bernama