27 Disember 2013

Erdogan tolak gesaan letak jawatan

23 Safar 1435H. [MOD] -



Foto
Penyokong Erdogan melaungkan slogan ketika menunggu ketibaan beliau di Lapangan Terbang Esenboga, Ankara, semalam. - Foto REUTERS
Berdepan cabaran getir selepas pecat Bayraktar

Istanbul: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, menerima cabaran paling hebat sejak memerintah 10 tahun lalu, apabila seorang rakan lamanya meletak jawatan dan menggesa beliau turut berundur berikutan siasatan rasuah yang mengancam melemahkan kepemimpinan beliau. 


Gesaan itu dibuat selepas Erdogan mendesak Menteri Alam Sekitar dan Perancangan Bandar, Erdogan Bayraktar, yang berkhidmat bersamanya sejak 1990-an dan dua lagi menteri supaya meletak jawatan, kelmarin. 

Setiap seorang daripada mereka mempunyai anak lelaki yang dikaitkan dalam siasatan rasuah.

Dalam sidang media lewat malam selepas mesyuarat tergempar dengan Presiden Abdullah Gul, Erdogan memecat menteri keempat dan mengumumkan satu barisan baru kabinet, selain menggantikan 10 orang menteri.

Erdogan tidak mengendahkan kenyataan Bayraktar sebelum itu yang mahu beliau meletak jawatan demi memulihkan keadaan negara.

Kebangkitan AKP 
Kebangkitan luar biasa dalam pentadbiran Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), mengetengahkan cabaran yang dihadapi Erdogan sebelum pilihan raya bermula Mac depan.

“Sesiapa yang cuba mengaitkan saya dengan skandal yang berlaku akan berdepan kegagalan. Mereka akan pulang dengan tangan kosong,” kata beliau yang disiarkan akhbar Hurriyet dan Yeni Safak, semalam.

Walaupun Erdogan dan parti pimpinan Islam sering bertelagah dengan institusi sekular tradisional seperti tentera, masalah terbaru jelas mencerminkan pergelutan kuasa di dalam AKP sendiri, berbanding perjuangan terhadap orientasi negara.

Kepemimpinan tanpa tandingan perdana menteri dan disiplin tegas parti sejak sedekad lalu membantu menukar Turki menjadi salah satu kuasa ekonomi terbesar yang pantas berkembang.

Negara itu menggunakan ekonominya untuk mengembangkan pengaruh politik di Asia Barat dan rantau lain.

Dengan keyakinan baru pada peringkat antarabangsa dan tentera kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Turki juga aktif memulakan semula rundingan dalam program nuklear Iran dan menjadi peneraju usaha menyingkirkan Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Siasatan rasuah

Namun, Erdogan dilihat bertahan sejak 17 Disember lalu, apabila pendakwa raya mendedahkan siasatan rasuah menyasarkan berpuluh-puluh sekutunya dalam politik dan perniagaan.

Pendakwa raya berkata, mereka bercadang mendakwa 24 suspek yang masih ditahan atas tuduhan rasuah, penggubahan wang, penyeludupan emas dan salah laku lain.
AKP menguasai politik Turki, dengan sokongan awam kekal 50 peratus sejak Oktober lalu.

Namun, penyokong perdana menteri dilihat memihak kepada serpihan setia bekas sekutu, Fethullah Gulen, yang jutaan pengikutnya membantu memilih Erdogan tiga kali.

Ulama Turki itu tinggal di dalam buangan atas pilihan sendiri di Pennsylvania, Amerika Syarikat namun pengaruhnya terus kuati. - AGENSI/BH/-

Tiada ulasan: