27 Disember 2013

Lelaki maut ditetak, dipercayai akibat cemburu

23 Safar 1435H. [MOD] -


Polis tidak menolak kemungkinan kejadian seorang lelaki maut selepas ditetak parang di tepi Pasar Aulong di Taiping baru-baru ini bermotifkan cemburu dan dendam.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Yusof Mohd Diah berkata siasatan awal mendapati mangsa M. Rathakrishnan, 32, yang bekerja sebagai pengutip besi buruk dipercayai mengganggu teman wanita seorang lelaki.

"Ia menjadi punca sehingga suspek bertindak menetak mangsa. Mangsa dikatakan baru dua minggu berada di Taiping dan tinggal di sekitar bandar ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping hari ini.

Rathakrishnan maut selepas cedera parah di bahagian leher akibat ditetak seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Waja pada 10.30 malam, Selasa lepas.

Sehubungan itu, Yusof berkata polis kini mencari seorang lelaki S. Murugan, 25, yang merupakan pemandu jengkaut bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Yusof juga berkata kawasan tempat tinggal mangsa agak sunyi dan lelaki itu dipercayai tidak sempat melawan memandangkan tiada kesan kecederaan lain ditemui selain tetakan di leher.

Hasil operasi pasukan Ops Cantas Khas IPD Taiping menahan dua remaja lelaki dipercayai rakan jenayah suspek di sebuah rumah di Sungai Siput dekat Taiping pukul 5 pagi kelmarin.

Beliau berkata mereka yang berusia 16 dan 19 tahun itu kini ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu melaporkan segera kepada polis atau menghubungi talian 05-829 1222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Saerah Dollah di talian 019-935 7999, katanya.

- Bernama



Tiada ulasan: