24 Januari 2014

Kos Pengangkutan Dijangka Naik 30 Peratus Ekoran Kenaikan Tol - Kajian FMM

22 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Satu tinjauan yang dijalankan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menunjukkan bahawa 15 peratus daripada responden menjangka kos pengangkutan akan naik 25 peratus hingga 30 peratus berikutan cadangan menaikkan kadar tol oleh syarikat konsesi tol di Lembah Klang.
Menurut FMM, kenaikan itu adalah ekoran peningkatan dalam bayaran pengangkutan oleh penyedia perkhidmatan logistik, kenaikan dalam harga bahan mentah dan peningkatan dalam tuntutan perjalanan kakitangan pemasaran yang menggunakan lebuh raya setiap hari.

"Kenaikan kadar tol akan menyebabkan harga barang dan bahan mentah meningkat yang seterusnya menaikkan kos pengeluar.
"Peningkatan dalam kos operasi ini akhirnya akan ditanggung oleh pengguna," katanya dalam satu kenyataan Khamis.
Ia berkata dengan kenaikan kadar elektrik baru-baru ini, kenaikan kadar tol dicadangkan sudah pasti memberi tekanan terhadap inflasi dan akan menjejas penggunaan domestik dan daya saing eksport.
FMM berkata menurut tinjauan itu, semua responden, 68 peratus daripadanya perusahaan kecil dan sederhana di Lembah Klang, pasti bahawa kenaikan kadar tol itu akan mendatangkan kesan terhadap kos menjalankan perniagaan.
Sebanyak 18 peratus daripada responden menganggarkan bahawa kenaikan tol itu akan meningkatkan kos pengangkutan sebanyak 11 peratus hingga 20 peratus manakala 46 peratus responden menjangkakan kenaikan itu adalah antara dua hingga 10 peratus.
Kira-kira 40 peratus daripada responden menyatakan mereka akan menggunakan semua lebuh raya termasuk Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya SPRINT manakala 64 peratus responden memberitahu mereka atau pekerja pengangkutan mereka tidak ada jalan pilihan lain untuk mengedarkan barangan ke destinasi mereka. -BERNAMA

Tiada ulasan: