24 Januari 2014

Premis gores dan menang diserbu 30 lelaki

22 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

SEREMBAN – Gara-gara memperdaya mangsa menerusi kegiatan gores dan menang, empat lelaki dipercayai kakitangan syarikat terbabit teruk dibelasah sekumpulan 30 lelaki dalam kejadian di sebuah premis di Senawang di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40  petang itu, tiga pekerja mengalami kecederaan di bahagian muka manakala seorang lagi pengsan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, di sini.

Menurut sumber, rusuhan berlaku sejurus kumpulan berkenaan berang kerana ramai ahli keluarga dan kenalan mereka ditipu sehingga ribuan ringgit.

“Difahamkan kejadian berlaku apabila sekumpulan lelaki bermotosikal dan beberapa kereta datang menyerbu syarikat terbabit dan meminta wang mangsa yang ditipu dikembalikan.

“Keadaan itu menyebabkan keadaan di luar jangka berlaku apabila kumpulan terbabit membelasah empat kakitangan syarikat terbabit sehingga menyebabkan salah seorang daripada mereka pengsan,” katanya.

Menurutnya, syarikat terbabit dipercayai beroperasi di kawasan itu sejak setahun lalu dan sudah banyak memperdaya mangsa terutamanya membabitkan warga emas.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu mengesahkan laporan kejadian dan akan menyiasat kes itu.

“Saya nasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan penipuan membabitkan kad gores dan menang.

“Polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan siasat kes ini,” katanya.SH/-

Tiada ulasan: