24 Januari 2014

Pantai Timur catat suhu terendah dalam sejarah

22 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

  • Pantai Timur catat suhu terendah dalam sejarahKeadaan cuaca di ruang udara di Kota Bharu yang redup dan berkabus. Pada jam 7 pagi suhu bandar ini mencatatkan 24 darjah Celsius berbanding 20 darjah Celsius hari sebelumnya.

KOTA BHARU - Keadaan suhu sejuk dan mendung seharian mencetuskan suasana baharu yang tidak pernah dialami masyarakat negara ini.

Tidak terkecuali di Kelantan, apabila beberapa lokasi di negeri ini mencatatkan suhu terendah dalam sejarah.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan dan Terengganu, Jenuwa Husin berkata, penurunan suhu dan udara yang sejuk dialami beberapa daerah di negeri ini merupakan satu rekod baharu.

Menurutnya, daerah Kuala Krai mencatatkan suhu penurunan minimum sehingga 17 darjah Celsius pada jam 7 pagi kelmarin berbanding 21.8 Celsius suhu purata.

“Penurunan suhu di Kuala Krai itu adalah yang paling minimum manakala Pasir Putih pula mencatatkan bacaan 19 darjah Celsius selain Kota Bharu dan Gong Kedak dengan purata 20 hingga 25 darjah Celsius.

“Di antara punca utama penurunan suhu itu ialah disebabkan tekanan suhu sejuk di tanah besar China yang memasuki Laut China Selatan selain daripada keadaan musim tengkujuh yang melanda kawasan Pantai Timur yang masih belum tamat,” katanya.

Menurutnya, fenomena tekanan suhu dari China itu terjadi semasa monsun timur laut dan tiupan angin kencang tersebut berlaku apabila kurangnya awan terbentuk pada waktu malam di kawasan Pantai Timur Semenanjung.

Beliau berkata, disebabkan penurunan itu penduduk di kawasan berhampiran pantai terutamanya akan mengalami suhu sejuk yang terlampau berbeza dengan keadaan biasa.

Dalam masa sama, Jenuwa berkata, amaran ketiga angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan pihak Meteorologi kepada nelayan dan orang awam bagi mengurangkan sebarang aktiviti pantai.

“Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Untuk rekod, suhu di tanah tinggi Cameron Highland purata sekitar 12 hingga 26 darjah Celsius manakala 13 -16 darjah Celsius pada waktu pagi.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di negeri ini mendapati keadaan cuaca sepanjang hari redup dan sejuk. Orang ramai dan murid-murid sekolah yang mengenakan baju sejuk di luar bangunan walaupun pada jam 11 pagi.

Seorang penduduk di Kuala Krai, Rosdi Ismail, 49,  berkata, perubahan mendadak suhu sejak selepas banjir gelombang kedua begitu dirasai.

Menurutnya, kedudukan kampung berkenaan yang dikelilingi bukit menyebabkan kesannya begitu terasa.

“Setiap kali keluar rumah untuk ke tempat kerja saya akan memakai baju sejuk kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk sekarang,” katanya.
Suhu di Besut

19 darjah Celsius

Suhu di kawasan Besut pula mencatatkan penurunan sehingga 19 darjah Celsius pagi kelmarin, menjadikan ia rekod suhu terendah yang pernah dicatatkan di daerah itu.

Jenuwa berkata, suhu itu disifatkan sebagai satu rekod kerana suhu biasa yang dicatatkan paling minimum bagi dua kawasan itu sebelum ini hanyalah sekitar 23 darjah Celsius.

Katanya, daerah lain di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman  mencatatkan sedikit penurunan iaitu sekitar 21 darjah Celsius berbanding hari biasa.

Selain itu katanya, Jabatan Meteorologi turut memaklumkan, angin kencang timur laut berkelajuan dari 60 kilometer sejam dengan ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Menurut beliau, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

“Angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.

Seorang penduduk di Besut, Yusof Ali, 72, berkata, keadaan suhu sejuk dirasakan sejak beberapa hari lalu, memaksa dia memakai baju lebih tebal.

Menurutnya, seingatnya, kali terakhir suhu sejuk berlaku di daerah ini ketika dia berusia 15 tahun, kira-kira 57 tahun lalu dan tidak berlaku lagi selepas itu sehinggalah ia berulang sekarang.

Tiada ulasan: