21 Januari 2014

Soalan buat MB, ramaikah rakyat T'ganu di Antartika?

19 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
MB Terengganu dikatakan akan melawat Antartika. Saya sebagai rakyat negeri Terengganu ingin bertanya kepada MB yang mewakili pihak kerajaan negeri beberapa soalan:


Berapa kos lawatan ini? Siapa yang menanggung kos lawatan ini? Adakah kerajaan sudah membuat kajian tentang manfaat projek ini yang menguntungkan rakyat negeri Terengganu?
Berapa ramai rakyat Terengganu yang menetap di Antartika sehingga perlu diberikan keutamaan mengatasi program lain?

Rakyat Terengganu baharu sahaja dalam tempoh sebulan lepas terutama di Kemaman menghadapi banjir. Masing-masing rugi ribuan sehingga jutaan ringgit. Kos sara hidup dan bebanan kewangan lain masih banyak. Hasil royalti untuk Terengganu melimpah ruah. Namun rakyat negeri tidak sangat merasai nikmatnya walaupun hanya seperti kuah.

Jalan raya di Terengganu penuh berlubang. Kerosakan sangat teruk. Memandu kereta seperti membawa kereta kuda dengan tayar kayu. Jalan berlubang ditampung, berlubang balik. Jalan seperti sudah siap, dgali dan dikorek balik.

Pergilah ke Hospital Kemaman. Klinik pakar kecil. Pesakit ramai. Tempat menunggu sesak.

Bagaimana dengan projek untuk memastikan banjir tidak akan berlaku lagi di Kemaman? Kita bukan mahu melawan kuasa Allah. Takdiri tetap takdir. Allah tidak ditanya tentang apa yang Dia buat tetapi manusia ditanya tentang apa yang mereka lakukan. 

Justeru, saya mahu bertanya MB setakat mana kesungguhan kerajaan mahu memastikan Kemaman bebas banjir untuk tahun 2014 dan akan datang?

Rakyat Kemaman masih tidak lupakan banjir besar baru-baru ini. Ada rumah-rumah di Bandar Baru Bukit Mentok yang sudah kosong. Namanya bukit tetapi tenggelamnya lebih teruk dari yang bernama lembah. Ada syarikat kereta yang dengar ceritanya bercadang membuka pusat servisnya di Kemaman tetapi barangkali mungkin berfikir balik tentang risiko banjir yang dihadapi.

Yang disebutkan di atas hanya sekadar dua tiga contoh. Yang penting, apakah keutamaan sebenar kerajaan negeri Terengganu? 

Memastikan kehidupan rakyat aman, sentosa, selamat dari musibah, kos sara hidup yang munasabah dan rendah atau projek Antartika dan Everest yang tidak bermanfaat untuk rakyat negeri?

Kalau kerajaan sudah buat apa yang sepatutnya dibuat tetapi banjir datang juga, musibah berlaku juga, maka itu di luar dari kehendak dan kuasa manusia.

Penulis adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Kemaman

Tiada ulasan: