07 Februari 2014

Aceh timbang bukan Islam patuhi kod pakaian Islam

7 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Majlis Perundangan Aceh sedang mempertimbang untuk melaksanakan undang-undang kecil khas yang memaksa bukan Islam mematuhi syariah.
    
Langkah itu menghendaki semua penduduk supaya mematuhi kod pakaian dan tatakelakuan Islam berdasarkan undang-undang kecil dikenali sebagai 'Qanun Jinayat' (undang-undang kecil meliputi kelakuan).

Ketua Pejabat Penguatkuasaan Syariah Aceh, Samsuddin berkata pihaknya sedang memperhebatkan pemeriksaan di jalan-jalan untuk mengurangkan perlanggaran undang-undang syariah termasuk oleh bukan Islam, harian berbahasa Inggeris The Jakarta Post melaporkan pada Khamis.
  
Di Banda Aceh pada Rabu, dua wanita yang menunggang motosikal ditahan anggota polis Syariah kerana tidak bertudung.
    
Bagaimanapun, selepas mendapati mereka bukan Islam, kedua-dua wanita itu dibebaskan dengan amaran supaya memakai tudung apabila berada di tempat-tempat awam.
    
"Kami berharap semua wanita termasuk bukan Islam akan memakai tudung," kata Samsuddin.
    
Beliau berkata masyarakat Islam dan bukan Islam yang tinggal di Aceh, satu-satunya wilayah yang menguatkuasakan undang-undang syariah, hendaklah mematuhi undang-undang Syariah.

Anggota polis Syariah juga menahan penunggang lelaki, Islam dan bukan Islam yang memakai seluar pendek dan mereka diberi amaran supaya mematuhui peraturan Syariah termasuk memakai seluar panjang apabila berada di tempat umum.
    
Menurut Qanun No. 11/2002, wanita mesti menutup aurat dengan bertudung dan lelaki dilarang daripada memakai seluar pendek atas paras lutut apabila berada di tempat-tempat awam.
    
"Mereka yang didapati melanggar undang-undang (Qanun) sebanyak tiga kali, boleh dikenakan hukuman berat seperti disebat di khalayak ramai," kata Samsuddin.
    
Kebanyakan penduduk telah menyuarakan tidak setuju terhadap langkah pihak berkuasa di Aceh untuk melaksanakan undang-undang syariah ke atas bukan Islam.
    
- Bernama

Tiada ulasan: