29 April 2014

5 rakyat Malaysia ditahan di Songkhla larikan wang guna kad ATM palsu

29 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -

Kangar: Lima rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas dikesan melarikan wang berjumlah lebih 5 juta baht (kira-kira RM500,000) menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) yang dipalsukan menggunakan data curi. 

Kelima-lima suspek berusia antara 22 dan 35 tahun ditahan secara berasingan dalam beberapa serbuan sekitar Songkhla di Thailand, sehingga semalam. 



Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla , Mohd Faizal Razali, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kelima-lima rakyat Malaysia terbabit, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa Thailand. Berdasarkan maklumat, katanya mereka dipercayai menjalankan kegiatan pemalsuan kad ATM di Thailand, sebelum memindahkan wang kepada rakan mereka di Malaysia dengan mendapat upah 10 peratus daripada hasil wang curi itu. "Kebanyakan mangsa mereka sebahagian besarnya terdiri daripada pelancong warga Perancis," katanya ketika dihubungi di sini. 

Mohd Faizal berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Polis Thailand itu dilakukan selepas mendapat maklumat daripada Kedutaan Perancis mengenai aduan kehilangan kad kredit milik warganya di Hatyai sejak beberapa bulan lalu. 


Katanya, hasil serbuan, polis merampas 732 kad kredit palsu, kad debit, komputer riba, 'skimmer' serta wang tunai yang dicuri. 


Beliau berkata, polis juga sedang memburu tiga lagi rakan suspek yang melakukan kegiatan itu selepas masuk ke Thailand 2 April lalu. 

Tiada ulasan: