01 April 2014

Media China minta keluarga bersikap rasional

30 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
MEDIA China meminta keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang supaya `tidak membiarkan kemarahan mereka mengatasi fakta dan kewarasan', walaupun mereka berasa amat sedih.

Dalam ruangan pendapat umum bertajuk `Hadapi tragedi MH370 dengan rasional' 
yang disiarkan oleh akhbar China Daily hari ini, penulis Mei Xinyu berkata anggota keluarga mangsa perlu mematuhi nilai-nilai asas masyarakat bertamadun. 

Beliau berkata mereka juga perlu menjaga `maruah sebagai sebuah kuasa besar'.
"Perkataan dan tingkah laku tidak waras yang bercanggah dengan nilai-nilai asas sekalipun atas nama 'mempertahankan hak perundangan', tidak akan membantu dalam hal ini.
"Sebaliknya, ia mungkin menikam diri sendiri dan menjejaskan keseluruhan kepentingan nasional, menyebabkan semua rakyat China menanggung kesan tragedi
itu," kata beliau dalam akhbar itu yang dimiliki kerajaan.

Xinyu, seorang penyelidik di Institut Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi
Antarabangsa, Kementerian Perdagangan China, berkata warga China perlu memahami
yang kejadian itu mungkin insiden paling aneh dalam sejarah penerbangan awam
Asia.

Beliau menarik perhatian bahawa menemui pesawat dan menganalisis data
teknikal akan mengambil masa.

"Penerbangan MH370 nampaknya jatuh di selatan Lautan Hindi yang sunyi
dengan keadaan ombak yang tinggi dan kedalamannya mencecah beribu-ribu meter.
Tidak banyak penerbangan sivil atau kapal-kapal laut melalui kawasan ini.

"Kita perlu ingat, ada kes di mana bangkai pesawat hanya dijumpai selepas
beberapa tahun usaha mencari. Selain semua pihak perlu berusaha mencari hasil
terbaik, mereka juga perlu bersedia untuk pencarian yang mengambil masa lama,"
katanya.

Xinyu berkata keluarga dan waris perlu faham bahawa pencarian pesawat yang
hilang itu membabitkan keupayaan ketenteraan dan rahsia pertahanan sesebuah
negara.

Oleh itu, menuntut sebuah negara berdaulat untuk mengeluarkan semua maklumat
adalah tidak wajar, dan adalah mustahil bagi semua maklumat rahsia itu
didedahkan.

"Pendapat umum tidak sepatutnya menyalahkan pihak berkuasa Malaysia kerana
kononnya menyembunyikan maklumat berikutan ketiadaan bukti, memandangkan kita
perlu bertindak mengikut undang-undang dan bukan dengan 'membuat bising' atau
menunjukkan tingkah laku yang agresif atau tidak waras,"
kata beliau.

Xinyu berkata anggota keluarga harus mengakui bahawa dalam insiden yang belum
pernah berlaku itu, Malaysia tidak lepas tangan dan seluruh rakyat Malaysia menunjukkan kesedihan yang mendalam.

(Oleh itu) rakyat China perlu mengelak daripada mencetuskan kritikan terhadap Malaysia bagi memastikan mereka tidak melukakan hati majoriti rakyat Malaysia.

"Semua rakyat China bersimpati dengan anggota keluarga penumpang MH370 dan
berkongsi kesedihan mereka," kata beliau.

myMetro

Tiada ulasan: