17 Mei 2014

R lancar kempen “Petronas sila bayar royalti”

16 Rejab 1435. [MOD] -



KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah melancarkan kempen "PETRONAS SILA BAYAR ROYALTI".

Program anjuran badan bukan kerajaan, aktivis R itu diadakan di Dataran Ilmu selepas kuliah mingguan Jumaat sesi kedua yang disampaikan Mohd Amar.

Pelancaran kempen itu menunjukkan isyarat jelas perjuangan rakyat Kelantan telah memasuki fasa kedua untuk menuntut royalti daripada Petronas.

Amar mengucapkan tahniah kepada aktivis R yang terdiri dari anak muda yang tidak pernah jemu berusaha untuk menuntut royalti demi kepentingan rakyat Kelantan.

Presiden R, Mohd Nazri Deraman, berkata dalam fasa pertama pihak R telah berjaya menyampaikan maklumat melalui pelbagai program penerangan yang telah dianjurkan selama dua tahun semenjak penubuhannya pada13 Mei 2012.

"Syukur alhamdulillah sehingga ke hari ini majoriti rakyat Kelantan dan negeri-negeri pengeluar  minyak telah memahami hak royalti sebagaimana perjanjian yang telah ditandatangani semenjak 39 tahun lepas,"ujarnya.

Perjuangan fasa kedua ini jelas Nazri lagi bertujuan untuk menggerakkan rakyst Kelantan untuk menuntut royalti dari Petronas dan Kerajaan Persekutuan.

"Pihak kami dan rakyat Kelantan berhak menyatakan secara langsung nama Petronas di dalam kempen ini, memandangkan Petronas telah terbukti melanggar perjanjian yang telah ditandatangani pada 19 Mei 1975 di antara Kerajaan Negeri dan Petronas,"ujarnya.

Sambung Nazri lagi, melalui kempen ini pihaknya telah mengedarkan poster bersaiz A3 yang bertulis "PETRONAS SILA BAYAR ROYALTI" kepada Petronas dan rakyat seluruhnya.

"Pihak kami bercadang untuk mengedar sebanyak 50 000 kepingan poster tersebut dalam masa terdekat.

"Yang amat membanggakan kami walaupun pelancaran hanya dibuat pada hari ini, ia telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutama dari kalangan anak-anak muda,"ujarnya.

Menurut Nazri lagi, mengikut pengiraan daripada beberapa pihak yang pakar dan mempunyai maklumat tentang pengeluaran petroleum anggaran tertunggak yang wajib dibayar kepada Kelantan RM12 Billion (sehingga 31 Disember 2013).

Sambungnya, jumlah tersebut  tidak termasuk pengeluaran dalam tempoh lima bulan terakhir ini (Januari-Mei 2014) dan pengeluaran dari Telaga Damar yang baru sahaja mengeluarkan petroleum pada 31 Januari 2014 yang lalu.

Sehubungan itu katanya, R sedang mengadakan perbincangan dengan pemuda PAS negeri untuk bersama-sama di dalam kempen ini.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: