11 Jun 2014

Penipuan Internet: Peniaga Jangan Sampai Ditipu Pembeli

13 Sya'aban 1435. [MOD] -


PETALING JAYA: Kes penipuan di internet bagai tiada penghujungnya apabila kumpulan-kumpulan penipu terus menyasarkan laman-laman popular jualan barangan dalam talian untuk mencari mangsa.
Jika sebelum ini penjual sering dikaitkan sebagai penipu, namun trend itu telah bertukar apabila pembeli pula dikesan menipu di laman web jualan barangan dalam talian.
Penyangak dalam talian ini dilihat semakin berani apabila mereka menggunakan pendekatan yang lebih mesra, iaitu berurusan secara langsung dengan peniaga melalui telefon, menjadikan peniaga yang diumpan lebih yakin dengan mereka.

Modus operandinya cukup mudah iaitu dengan menghubungi mana-mana individu yang mengiklankan barangan yang ingin dijual dalam talian dan berpura-pura menjadi pembeli yang kononnya sangat berminat dengan barangan yang diiklankan.
Bagi memastikan mangsa lebih cepat masuk ke perangkap yang dipasang, penyangak tersebut sanggup menawarkan bayaran yang lebih tinggi daripada harga asal.
Seorang pengiklan yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila dihubungi seorang 'pembeli segera' selepas tidak sampai lima minit mengiklankan kamera yang ingin dijualnya di sebuah laman jualan barang popular di negara ini.
"Tidak sampai lima minit, seseorang kononnya dari UK (United Kingdom) menghubungi saya melalui 'WatsApp' menyatakan minat untuk membeli kamera yang saya iklankan. Katanya dia mahu menghadiahkan kamera itu untuk sepupunya di Amerika Syarikat.
"Saya macam terpukau...ikutkan hati memang saya nak jual sangat kamera tu, tapi atas nasihat kawan-kawan, saya tidak segera menjualnya.
"Dia di UK dan nak belikan untuk sepupu di AS. Itu sudah membuatkan saya curiga. Kenapa mahu beli dari Malaysia?
"Lagipun dia tak banyak bertanya tentang kamera saya, tetapi terus mahu beli siap tawar untuk tambah RM300 untuk bayar 'Poslaju' ke AS. Bagaimana pula dia tahu tentang Poslaju?," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.
mstar.com.my

Tiada ulasan: