28 Jun 2021

Arab Saudi sasar jadi negara sumber kurma utama dunia


JEDDAH: Arab Saudi kini dalam usaha menjadi negara sumber kurma utama dunia menerusi kerjasama Pusat Nasional Palma dan Kurma (NCPD) serta Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif NCPD, Dr Mohammed bin Al-Nowairan, berkata industri itu menyumbang kepada sektor eksport paling utama Arab Saudi menerusi eksport kurma ke 107 negara tahun lalu.

Arab Saudi mengeluarkan kira-kira 1.5 juta tan kurma setiap tahun, menjadikan ia sebagai pengeluar kedua terbesar dunia.

Bercakap kepada Arab News, Pengurus Komunikasi dan Jurucakap NCPD, Thamer Aldaydab, berkata NCPD akan membolehkan petani memenuhi kualiti antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan rantaian pengeluaran dan meningkatkan kualiti amalan pertanian sebelum dan selepas penuaian hasil.

Seiring dengan teknologi moden dan sijil antarabangsa, petani juga akan diberikan perkhidmatan khusus untuk meningkatkan kecekapan eksport, dengan panduan mengenai pembungkusan, pembersihan, penyimpanan dan pemasaran bagi meningkatkan hasil pendapatan.

Terdapat 157 kilang kurma di seluruh negara termasuk 42 dianugerahkan jenama kurma Saudi, bersama 41 ladang dan 24 syarikat. Banyak kilang dan ladang kini dalam proses menerima sijil berkenaan.

Aldaydab berkata pengeluaran kurma berbeza antara wilayah tetapi tiada diskriminasi daripada segi sokongan NCPD.

"Setiap wilayah dicirikan oleh pengeluaran kurma tertentu dan berbeza dengan wilayah lain.

"Terdapat lebih 31 juta pokok palma di seluruh negara menghasilkan lebih 1.5 juta tan kurma," katanya. BH/-

Tiada ulasan: